Sunday, May 07, 2023

ISU TUMBANGKAN KERAJAAN HANYA KACAU-GANGGU

KACAU-GANGGU kerajaan sudah menjadi asam garam politik negara ini.

Sepatutnya selepas PRU, parti yang membentuk kerajaan diberikan peluang dan ruang untuk memerintah dalam tempoh sepenggal.

Parti pembangkang melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang.

Apabila tiba PRU berikutnya, rakyat menjadi hakim dan memutuskan parti mana pula diberi mandat.

Isu tumbangkan kerajaan sebelum tamat tempoh bermula selepas PRU Tahun 2008. Masa itu tagline yang popular “I Have The Numbers”, walaupun tidak pernah terealisasi, tetapi sebaliknya berlaku, pemimpin (baca wakil rakyat) atau parti yang sebahagian kerajaan yang menumbangkan kerajaan sendiri.

Demikian juga isu kacau ganggu kerajaan hari ini, boleh tumbang, jika wakil rakyat/parti yang menyokong menumbangkannya.

Memandangkan parti yang diisukan iaitu Umno/BN dikatakan lebih sedozen ahli parlimen bakal mengosongkan kerusi masing-masing telah menafikan, maka dengan sendirinya gerakan tumbangkan kerajaan hanya bersifat kacau-ganggu.

Penulis kerap kali mengulas, walaupun berlaku PRK yang melibatkan sedozen ahli parlimen Umno/BN, menumbangkan kerajaan dalam penggal ini tidak akan berlaku, kerana dua parti blok borneo- GPS dan GRS yang mempunyai 29 ahli parlimen mempertahankan kerajaan sehingga tamat penggal.

GPS dan GRS enggan dimasukkan dalam catitan sejarah politik tanah air sebagai blok parti yang mudah mengubah-ubah keputusan.

Berasaskan fakta, pendirian GPS dan GRS semasa penamaan Perdana Menteri ke-10, apabila pemimpin yang disokong pada asalnya tidak mendapat majoriti mudah, tidak lagi menamakan pemimpin lain, melainkan akur dengan pilihan YDP Agong.

Melihat keputusan GPS dan GRS yang teguh dengan pendirian, maka gerakan mana-mana pihak menumbangkan kerajaan tidak akan mendapat sokongan dua parti blok borneo tersebut.

Selagi GPS dan GRS kekal dengan pendirian, kerajaan tidak akan tumbang. Maknanya sebarang cerita tumbangkan kerajaan hanya bersifat kacau-ganggu.

No comments:

Blog Archive