Wednesday, February 15, 2023

HAJIJI TERIMA BAIK SOKONGAN BN TERHADAP KERAJAAN NEGERI

KETUA MENTERI Datuk Seri Hajiji Haji Noor menerima baik ketetapan yang diambil oleh Barisan Nasional (BN) untuk memberi sokongan dan mendukung Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan beliau.

“Baguslah. Jadi ini bermakna Kerajaan Negeri akan bertambah kukuh, dalam konsep Kerajaan Perpaduan yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diminta mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung perkara itu Ahad lalu.

Dr. Zambry berkata, pendirian itu sejajar dengan ketetapan setiap parti di peringkat Persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dibentuk untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya. Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan sekretariat sama di peringkat negeri termasuk Sabah,” kata beliau.

Dr. Zambry berkata, BN Sabah dipertanggungjawab menggembleng segala usaha untuk memastikan agenda perpaduan dapat direalisasi sekali gus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri itu melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

BN turut menamakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan sebagai wakil UMNO dan gabungan itu dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah.

Pada 6 Jan, BN Sabah telah mengumumkan menarik sokongan dan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengumumkan ini dalam satu sidang media khas berkata, keputusan terbabit dimuktamadkan setelah persefahaman politik yang termeterai di antara BN bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lepas telah dilanggar Hajiji.

Ini dikatakan ada kaitan dengan gerakan bersama Parti Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji. Gerakan tersebut bagaimanapun gagal apabila lima daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN/UMNO Sabah tidak mahu turut serta dan mengekalkan sokongan merreka terhadap Hajiji.

Kegagalan gerakan itu disusuli dengan rombakan Kabinet Negeri Sabah yang mengugurkan Bung Moktar, Datuk Yakub Khan dan Datuk Jafry Arifin. Sebelumnya Bung Moktar adalah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, manakala Yakub adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jafry adalah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Ditanya sama ada tidak ada perasaan dendam, Hajiji berkata: “Tiada berdendam … ala dalam politik ini tiadalah dendam-dendam, kerana yang penting adalah untuk kepentingan rakyat dan juga negeri Sabah.

“Itu yang penting. Itulah tujuannya kita para pemimpin supaya fokus kepada penyatuan rakyat, perpaduan dan juga pembangunan negeri, supaya aktiviti ekonomi kita bertambah rancak dan rakyat akan mendapat manfaat.

“Ini tujuan kita berjuang dan berpolitik.”

“Kita tunggulah ya,” kata Hajiji apabila ditanya sama ada sebarang rundingan telah diadakan dengan BN Sabah.

Mengenai pelantikan Yakub sebagai wakil BN Sabah, Hajiji berkata, beliau tiada masalah dengan pelantikan itu.

“Kita tiada masalah. Yang penting ianya baik untuk rakyat dan negeri Sabah.

“Jadi bagi saya, saya terbuka dalam hal-hal seumpama ini kerana niat saya adalah untuk mensejahterakan rakyat, menyatupadukan rakyat dan juga fokus kepada membangunkan negeri menerusi pelan pembangunan yang telah kita lancar iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

No comments:

Blog Archive