Bajet Persekutuan bagi Tahun 2023 telah dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2022, akan tetapi tidak sempat diluluskan, kerana Parlimen dibubarkan.
Menerusi Bajet tersebut Sabah diberi peruntukan sebanyak RM6.3 bilion berbanding RM5.2 bilion bagi tahun 2022.
Sabah jika dilihat daripada segi keluasan dan keadaan kemudahan asas rakyat yang masih daif atau ketinggalan memerlukan bajet besar untuk pembangunan.
Peruntukan RM6.3 bilion jika dikaitkan dengan keperluan rakyat, khususnya berkaitan bekalan air bersih baik bandar mahupun luar bandar, keperluan jalan-jalan raya, serta bekalan elektrik terutama di luar bandar, dilihat tidak mencukupi, atas sebab itu diharapkan menerusi Bajet nanti, diharapkan Kerajaan Persekutuan menambah jumlah tersebut.
Selain kemudahan-kemudahan asas tersebut, Sabah juga perlu menaik taraf sekolah-sekolah, klinik-klinik kesihatan, termasuk juga jaringan internet.
Pada hakikatnya Sabah sudah bernasib baik berbanding beberapa tahun ke belakang, kerana selain mendapat bayaran 5% royalti minyak, juga mendapat kutipan cukai 5% daripada syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di negeri itu.
Dianggarkan setiap tahun bayaran royalti dan kutipan cukai negeri tidak kurang RM5 bilion. Dengan adanya kutipan hasil yang meningkat ini dan apabila ditambah dengan peruntukan Persekutuan yang turut meningkat, diharapkan dapat memendek masa untuk penyelesaian kemudahan-kemudahan asas yang mendesak demi keselesaan rakyat.
Harapan rakyat daripada peruntukan untuk pembangunan, setiap sen dibelanjakan sesuai dengan tujuannya, dan tidak berlaku ketirisan, yang berbentuk “kickback” apapun alasannya.
Diterima atau tidak, antara faktor yang menjadi penyebab, kemudahan-kemudahan yang mendapat peruntukan daripada kerajaan,tidak bertahan lama, kerana para kontraktor terpaksa mengurangkan kualiti kerana mereka terpaksa mengurangkan kos, kerana berlakunya ketirisan melalui “kickback”.
Di Sabah bukan pelik, keadaan jalan-jalan raya seperti permukaan bulan, paip air pecah merata tempat, selain keadaan longkang yang tidak diselenggara, batang-batang elektrik yang menanti rebah, kabel-kabel elektrik yang bergentayangan, bagaikan akar-akar kayu di hutan, lampu-lampu jalan yang tidak diselenggara, dan bermacam lagi kedaifan, yang tidak sepatutnya berlaku, jika dibandingkan dengan jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan.
Atas sebab itu, jika kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan pembangunan untuk Sabah, sebaik-baiknya digunakan dengan seoptimal mungkin.
Setiap sen peruntukan dapat digunakan seoptimal mungkin, jika mereka yang diberi tanggungjawab adalah mereka yang berintegriti dan amanah, dan janganberulang lagi seperti mana berlaku pada Jabatan Air Sabah (JAS) yang mana terdapat para individu yang diberi tanggungjawab, sehingga menjadi penyebab isu air di Sabah menjadi masalah, malah menjadi akut.
No comments:
Post a Comment