Saturday, January 14, 2023

ZAHID SOKONG TINDAKAN BUNG

APABILA Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno menerusi Ucapan Dasar Presiden pada PAU2022 memberi sokongan tidak berbelah bahagi pada kepimpinan Umno Sabah yang diketuai Datuk Bung Moktar Radin, telah menjawab teka teki bahawa tindakan berkomplot dengan Datuk Shafie Apdal menumbangkan Kerajaan GRS-BN Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah mendapat restu daripada presiden.

Dengan restu tersebut, desakan daripada berbagai pihak untuk mengambil tindakan pada mereka yang berkomplot berbanding 5 ADUN yang mempertahankan status quo atau dengan kata lain mempertahankan mandat rakyat Sabah pada PRN-16 pada September 2020 tidak akan berlaku sebaliknya tindakan akan diambil pada 5 ADUN tersebut.

Berpandukan pada fasal 20.11.1 Perlembagaan parti yang baru diluluskan antara lain menyebut, keanggotaan tergugur secara automatik jika ahli UMNO itu sudah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO atau memilih untuk menjadi ahli Dewan Rakyat atau DUN bebas.

Penulis melihat, jika Umno mengguna pakai pelembagaan baharu tersebut, maka semakin memperkukuh pendirian 5 ADUN tersebut untuk terus bersama-sama Kerajaan Negeri, dan masa yang sama bukan sahaja mengekalkan kestabilan kerajaan juga menghindar daripada gerakan berkomplot seterusnya menumbangkan kerajaan negeri.

Tahniah pada Zahid, kerana dalam masa singkat, rakyat Sabah maklum, gerakan menumbangkan kerajaan negeri, bukan hanya agenda Umno Sabah akan tetapi juga agenda parti Umno.

Menerusi agenda tersebut, telah mengsahkan, bahawa punca ketidak stabilan politik dalam negara yang bermula sejak tahun 2009, didalangi parti itu.

Tindakan rakyat semasa PRU-15, apabila Umno hanya menang 26 kerusi seluruh negara, berbanding 54 pada PRU-14 adalah tindakan wajar.

Benar lah kata Menteri Besar kedah – Dato Sanusi Md Nor, punca ketidak stabilan politik negara adalah Umno.

Gerakan Umno untuk mengwujudkan ketidak stabilan bermula pada tahun 2009 di Perak, kemudian pada Ogos 2021 apabila 15 MP Umno yang diketuai Zahid, salah seorang daripadanya Datuk Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhiyiddin Yassin, pemimpin yang menghulur tangan kepada parti itu daripada parti pembangkang untuk menubuhkan kerajaan secara bersama-sama, selepas berkorban keluar daripada kerajaan sendiri demi perpaduan ummah ekoran keputusan kongres maruah melayu pada Oktober 2019 di Stadium Melawati, Shah Alam Selangor.

Tindakan Umno tersebut bukan sahaja membuka mata rakyat negara ini, juga Kerajaan Persekutuan yang sedia ada, bahawa parti itu akan terus membuat gerakan luar jangka untuk mengwujudkan ketidak stabilan.

Pun demikian, kerajaan Persekutuan akan terus terselamat selagi Umno diketuai Zahid, atas sebab, pihak yang boleh mengambil alih kerajaan, iaitu Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai 74 ahli parlimen tidak akan dapat bekerjasama dengan parti itu.

Tindak tanduk Umno di bawah pimpinan Zahid, tidak akan dapat memulihkan sokongan pada parti itu, sebaliknya akan terus merudum.

Misi Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan sokongan kaum melayu melalui Umno tidak akan tercapai, malah dilihat kehadiran parti itu bersama pakatan tersebut, hanya seperti melukut ditepi gantang.

No comments:

Blog Archive