Sunday, January 22, 2023

SOKONG MEMBAWA REBAH

A
MBIL iktibar apa yang berlaku pada parti Umno pada PRU-14, apabila parti kalah, kerana Perdana Menteri/Presiden Umno dikelilingi oleh mereka yang sokong membawa rebah.

Mereka yang tergolong sokong membawa rebah, mengutamakan kedudukan dan kepentingan masing-masing, dengan mengwujudkan dinding pemisah, menjadi pengelipur lara, untuk mengabui atau menutup mata, supaya kepemimpinan terhalang melihat isu-isu negatif yang mendorong rakyat menolak.

Kesannya, tumbang lah Perdana Menteri dan kerajaannya.

Apa yang berlaku sebelum PRU-14, sedang berlaku sekarang, apabila ramai berjawatan politik memilih pendekatan sebagai pengelipur lara.

Jawatan politik terwujud kerana sokongan rakyat. Sokongan rakyat itu diperolehi melalui pilihan raya. Parti politik yang mendapat sokongan terbanyak samada menerusi First Past The Post atau secara mutlak diistiharkan sebagai pemenang.

Pemenang yang menjadi kerajaan perlu menunaikan harapan mereka yang menyokong.

Rakyat yang menyokong menilai sejauh mana harapan mereka tertunai. Jika mereka yang diberi mandat terlepas pandang, berkaitan harapan rakyat, sebaliknya hanya terpukau dengan bodekan sang pengelipur lara, maka sang pemimpin terperangkap dalam lingkaran sokong membawa rebah.

Penulis mengambil iktibar pada PRU-15 di Sabah, apabila ramai calon yang mempunyai kedudukan politik akan tetapi ditolak rakyat, sedangkan mereka itu mempunyai “pasukan” yang kuat. Mengapa ditolak rakyat? Jawapannya, kerana mereka yang dianggap “inner circle” itu adalah terdiri daripada penyokong membawa rebah.

Calon-calon yang mempunyai kedudukan politik, terlepas padang, memilih mereka yang dimasukan dalam sistem sebagai inner circle, sedangkan mereka yang menjadi pendorong sehingga calon-calon itu mendapat kedudukan, dilupakan, tiada lagi dalam senarai sebagai pendorong sokongan.

Tidak pelik, apabila seseorang telah mendapat kedudukan, tampil dengan wajah baharu, dengan pasukan atau team yang sama sekali baharu. Ibaratnya, individu yang mendapat kedudukan itu menukar semua baju yang biasa digunakan sebelumnya, sebaliknya menukar pada jenama yang baharu, lebih berkualiti, sebagai gambaran status telah naik tangga.

Pasukan baharu, membina dinding pemisah, mengepung pemimpin yang mengangkat mereka. Mereka ini memberi gambaran molek-molek, supaya pemimpin yang memberikan mereka amanah terhibur dan senantiasa ceria. Dalam situasi demikian, maka terlupa lah kelompok besar yang memberi amanah, iaitu rakyat.

Atas sebab kealpaan ini, apabila tiba pilihan raya, seseorang calon yang dipilih bertanding mewakili kerajaan atau parti, yang dianggap akan menang mudah, akan tetapi ternyata ditolak rakyat. Dalam kedudukan kalah, sedar pun, sudah terlambat. 

Di Sabah, bukan lah luarbiasa, kerajaan atau pemimpin yang dilihat kuat, akan tetapi boleh kalah dalam pilihan raya, atas sebab salah satu isu utama- kerana mereka yang diangkat oleh  pemimpin,  bertindak lebih sudu daripada kuah, yang menyebabkan sokongan mereka membawa kemudaratan pada pemimpin yang memberikan mereka tanggungjawab. Fikir-Fikirkan lah.

No comments:

Blog Archive