Sunday, January 15, 2023

SELEPAS GAGAL: BUNG DAN SHAFIE BERDOLAK DALIK

TIDAK terfikir kah oleh Datuk Bung Moktar Radin dan Datuk Shafie Apdal, bahawa era sekarang maklumt di hujung jari?

Tidak terfikir kah juga oleh mereka, selagi ada gerakan melibatkan lebih 2 mata, maka gerakan “jahat” akan terdedah?

Bagi Shafie bukan cerita baharu, mengambil alih kerajaan, ianya bermula sebaik sahaja keputusan PRN-16 diumumkan. Akan tetapi gerakan tersebut, gagal dan gagal lagi.

Bagi Bung pula, gerakan menukar kerajaan berlaku, berkaitan agihan kek dalam kerajaan. khususnya berkaitan peruntukan.

Menukar kerajaan cara Shafie kerana mahukan jawatan Ketua Menteri, untuk mengembalikan kaedah yang digunakan semasa 27 bulan selepas merampas kuasa pada tahun 2018, dengan melantik sebanyak mungkin orang-orang Semporna di seluruh jajaran pemerintahan. Manakala cara Bung pula, hanya berkisar pada penggunaan kewangan negeri.

Oleh kerana 5 ADUN Umno tersangat sedar berkaitan tindakan Bung, maka tidak dapat bersetuju menjatuhkan kerajaan, apa tah lagi kerajaan yang ditubuhkan bersama Parti Warisan.

Akibat gerakan atau komplot tersebut  7 ADUN Pakatan Harapan (PH) terperangkap “off guard”, kerana dalam fikiran mereka, kerajaan Sabah yang diterajui GRS-BN sangat stabil, atas sebab itu, selepas sahaja PRU-15, dan Kerajaan Persekutuan dibentuk, yang juga disokong GRS, 7 ADUN PH Sabah menemui Ketua Menteri untuk menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi sehingga Penggal ke-16 Dun Sabah tamat pada tahun 2025.

Sokongan 7 ADUN PH tersebut dizahirkan juga semasa Pembentangan Bajet tahun 2023 negeri pada akhir November 2022.

Selepas semua parti-parti Sabah bersekutu di peringkat Persekutuan, hanya Parti Warisan tidak menyatakan secara terbuka menyokong Kerajaan Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Manakala Bung, walaupun semasa proses menamakan Perdana Menteri ke-10 menuduh GRS ingkar persefahaman dalam penamaan jawatan Perdana Menteri. Akan tetapi selepas PM-10 dilantik, Bung menyatakan secara terbuka, kerajaan GRS-BN Sabah kekal intake, sesuai dengan mandat yang diberikan rakyat Sabah pada PRN-16 Sabah.

Pada sidang DUN Sabah pada akhir November termasuk pembentangan Bajet tahunan negeri, tiada sebarang hujah negatif dari mana-mana ADUN Umno/BN semasa perbahasan, termasuk sidang media atau hebahan akhbar, bahawa politik Sabah perlu penjajaran baharu atau mengubah hala tuju baharu, pasca PRU-15.

Akan tetapi, apabila tahun 2023 bermula, yang biasanya pada bulan Februari atau Mac, waran-waran peruntukan dikeluarkan, Apabila projek-projek yang ada hubung kait dengan Timbalan Ketua Menteri itu  tidak tersenarai di Kementerian Kewangan. Akibatnya secapat kilat berlaku lah gerakan menggulingkan Ketua Menteri.

Mesyuarat tertutup antara ADUN Umno, membincangkan menggantikan Ketua Menteri, akan tetapi hanya 12 ADUN yang bersetuju. Apabila itu berlaku, maka pelan B dipilih, mengangkat Bung pula sebagai calon Ketua Menteri, dengan tujuan, agar 5 ADUN parti itu mengubah fikiran. Pun juga strategi itu tidak dapat mengubah pendirian 5 ADUN parti itu.

Oleh kerana komplot Bung “telah terbocor’ sehinggakan ADUN Usukan- Datuk Salleh Said Keruak dilucutkan sebagai Pengerusi Qhazanah Sdn Bhd, maka Bung menggunakan tindakan tersebut sebagai alasan keluar daripada Kerajaan GRS-BN. Maksud tindakan tersebut, supaya Kerajaan yang dipimpin Hajiji hilang sokongan majoriti di DUN.

Ekoran tindakan itu Datuk Peter Anthony Presiden KDM dengan 3 ADUN, sepantas kilat mengeluarkan edaran akhbar, mendakwa Hajiji kehilangan sokongan dan keabsahan sebagai Ketua Menteri. Apabila mengambil kira jumlah ADUN yang bersama komplot mengulingkan kerajaan berkomposisi 37 ADUN bersama Hajiji, 35 ADUN bersama yang berkomplot, maka PH dengan 7 ADUN terperangkap, dan memaksa mereka menjadi “kingmaker”.

Menerusi jurucakap ADUN PH, Datuk Ewon Benedick yang juga ADUN Kedamaian merangkap ahli parlimen Penampang dan Menteri Persekutuan, mengulangi pendirian mereka akan terus menyokong Datuk Hajiji sehingga tamat penggal, tidak sama sekali terlibat dengan Kerajaan Pintu Belakang.

Menerusi pendirian 7 ADUN PH tersebut, telah dibuktikan pada Sidang Khas DUN Sabah pada 10 januari 2023, apabila 2 Rang Undang-Undang (RUU) disokong 44 ADUN daripada 79 (sidang itu tiada seorangpun daripada 35 ADUN yang berkomplot hadir). Menerusi sokongan pada RUU tersebut maka telah mengabsahan sokongan pada Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Kerana sokongan pada Hajiji kukuh, maka diadakan rombakan kabinet, menggugurkan 2 menteri dan seorang Timbalan Ketua Menteri yang termasuk dalam komplot 35 ADUN.

Selepas “the dust settle” timbul pula dolak dalik Bung dan Shafie, dengan berbagai alasan berkaitan komplot menggulingkan kerajaan negeri, antara lain menggunakan tafsiran istilah yang digunakan surat-surat khabar berkaitan komplot tersebut, malah mendakwa, tiada maksud menggulingkan kerajaan, sebaliknya hanya pentafsiran Perlembagaan negeri, berkaitan kedudukan Ketua Menteri yang keluar daripada Parti Bersatu pada 10 Disember 2022.

Pandangan penulis, tindakan yang perlu dibuat oleh semua ADUN Sabah khususnya 35 yang berkomplot tersebut, hormati lah keputusan rakyat Sabah pada PRN-16, yang menjadikan Hajiji sebagai Ketua Menteri. Lagi pun perlantikan Hajiji bukan sahaja mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, juga keputusan rakyat pada masa itu.

Beri lah peluang pada kerajaan yang beliau pimpin menunaikan harapan rakyat Sabah, khususnya merealisasikan Visi Sabah Maju Jaya.

Penulis yakin, rakyat Sabah mengikuti pencapaian kerajaan yang dipimpin Hajiji, terutama berkaitan pemulihan perekonomian negeri, kutipan hasil negeri, merealisasikan tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); juga kemasukan pelaburan dalam negeri yang begitu tinggi.

Bukan itu sahaja prestasi syarikat-syarikat berkait kerajaan seperti Yayasan Sabah/Innoprise Sdn Bhd, Sawit Kinabalu, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), SEDCO, Sabah Kredit, dan banyak lagi yang telah melipat gandakan bayaran dividen tahunan pada Kerajaan Negeri.

Adalah pelik, untuk mengubah kerajaan yang berada di landasan betul, kerana ada yang mengatakan perlu diubah, ertinya mereka itu termasuk dalam kumpulan tikus membaiki labu. Cukup lah sekali, kerajaan Sabah berhadapan dengan kerajaan tikus membaiki labu selepas PRU-14, apabila perekonomian negeri musnah hanya dalam masa 27 bulan, daripada pertumbahan 8.7% pada akhir tahun 2017, terus menjunam pada tahun 2018, 2019 dan negatif pada tahun 2020.

Tidak terfikir oleh penulis, bagai mana kah kerajaan yang mengutip hasil RM6.6 bilion pada tahun 2022, kutipan tertinggi sejak merdeka, malah lonjakkan kutipan Tahun ke Tahun (Year to year) luarbiasa, ada kewajaran untuk digulingkan. Tepuk dada tanya selera. Fikir-Fikarkan Lah.

No comments:

Blog Archive