SEJAUH mana rakyat yang turun mengundi pada PRU kali ini menjadikan isu rasuah sebagai pedoman menyokong mana-mana parti yang mengambil bahagian?
Hakikatnya jika melihat pada PRN Melaka dan Johor, isu yang sama telah dimainkan, akan tetapi tidak juga berimpak pada parti yang didakwa terkait dengan isu jenayah tersebut, sedangkan beberapa pemimpin utama parti yang didakwa itu sedang dibicarakan.
Alasan yang diberi pada dua PRN tersebut, adalah para pengundi yang keluar mengundi sebahagian besar adalah ahli parti dan penyokong tegar, seperti digambarkan pada peratusan yang keluar mengundi yang sangat rendah.
Ada yang mendakwa, lain kesudahannya jika pengundi pasif, atas pagar atau mereka yang tidak menyokong mana-mana parti politik turut sama keluar mengundi.
Pada PRU kali ini, Umno khususnya sangat mengharapkan peratusan yang keluar mengundi juga rendah agar dapat mengulangi keputusan pada dua PRN tersebut.
Mungkin benar Umno mendapat kelebihan apabila peratusan keluar mengundi rendah, atas faktor selain ahli akan tetapi juga mempunyai “bank votes” sesuai dengan kedudukan parti itu yang telah berakar umbi. Sebagai tambahan lagi, perpecahan undi juga membolehkan parti itu mendapat manfaat sistem First Past The Post.
Bagi pandangan penulis, selagi berlaku pertembungan berbagai penjuru, khususnya antara tiga blok parti utama; BN, PH dan PN, peratusan keluar mengundi bukan lah faktor utama kemenangan Umno atau BN, akan tetapi faktor yang signifikan adalah perpecahan undi.
Tersangat jelas, apabila perpecahan undi berlaku, sudah pasti parti yang teramai ahli dan penyokong akan keluar sebagai pemenang.
Dalam sejarah PRU negara, hanya pada PRU-14 Umno/BN kecundang, kesan perpecahan undi, tsunami kaum cina dan melayu, ditambah peratusan pengundi yang tinggi, menyebabkan PH mendapat kelebihan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Namun pada PRU kali ini, apakah juga tsunami dua kaum tersebut masih berlaku, kerana isu yang sama masih berlegar-legar? Walaupun tidak kenampakkan tanda-tanda pada PRN Melaka dan Johor.
Atau kah pengundi mempunyai mood yang berbeza kerana PRU ini membabitkan pemerintahan negara yang memerlukan sebuah kerajaan bukan sahaja kerajaan berintegriti akan tetapi kerajaan yang bersih kerana dipimpin oleh mereka yang bersih akan tetapi juga kenampakan bersih.
Di antara blok parti politik yang bakal mengambil bahagian, hanya para pemimpin Perikatan Nasional (PN) setakat ini masih bebas isu jenayah rasuah.
Jika lah rakyat menjadikan isu rasuah sebagai faktor memilih parti, sudah tentu, akan memberi mandat pada parti yang bebas isu jenayah ini, akan tetapi, ianya tidak cukup, jika tidak diimbangi penyertaan sebahagian besar pengundi pasif, atas pagar dan pengundi pertama kali, jika sebaliknya berlaku, ahli dan penyokong tegar boleh menjadikan parti yang mempunyai pemimpin terpalit isu jenayah ini menang atas sebab mereka ini didoktrin bahawa pemimpin mereka dituduh atas tujuan politik.
Terlihat sangat bagai mana tebalnya kesan doktrinasi, apabila Umno Bahagian Pekan masih mencalonkan Datuk Seri Najib Razak sebagai calon tunggal bagi Parlimen Pekan, sedangkan mantan Perdana Menteri ke-6 tersebut sedang dipenjarakan, dengan sabitan yang menyebabkan hilang kelayakkan sebagai calon pilihan raya. Fakta sedemikian lah, yang boleh diambil kesimpulan, bahawa ahli dan penyokong tegar parti itu, apapun isu yang menyelubungi parti, akan juga memberi undi pada calon-calon parti tersebut. Fakta ini lah yang sebenarnya dibimbangi blok parti politik lain apabila peratusan yang keluar mengundi rendah, kerana menutup peluang untuk menang.
Seperkara lagi, jika melihat jumlah undi yang diperolehi Umno/BN pada PRK Johor misalnya, jumlah undi yang diperolehi parti itu hampir identikal dengan jumlah undi pada PRU-14, akan tetapi pada PRU tersebut parti itu kalah, manakala pada PRN menang dengan super majority.
Mungkin kerana mengambil iktibar pada kemenangan pada dua PRN Melaka dan Johor yang diadakan dalam keadaan yang tidak kondusif, maka PRU-15 juga perlu diadakan pada keadaan yang sama. Pinjam kata-kata hastag pemimpin Umno, apapun tindakan, jika mahu menang, maka perlu bertindak dengan cara menang.
Oleh kerana PRU terpaksa juga diadakan, maka pemimpin yang melawan Umno/BN cuba mengapungkan isu ketidak sesuaian mengadakan pilihan raya dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan rakyat, dengan harapan rakyat keluar beramai-ramai untuk mengundi untuk tujuan menghukum parti Umno/BN yang tidak mementingkan rakyat, sebaliknya hanya untuk memenuhi nafsu para pemimpin parti itu.
Sejauh mana kah tindak balas rakyat berkaitan tindakan mengadakan pilihan raya pada masa yang tidak sesuai, akan terlihat pada keputusan PRU kali ini. Sama-sama kita nantikan.
No comments:
Post a Comment