Monday, September 26, 2022

PARTI MANA DITOLAK RAKYAT?

SEKALI lagi pada PRU-15, kita semua akan menyaksikan parti mana ditolak rakyat, kerana sebelum PRU-14, parti yang biasa ditolak adalah parti-parti yang melawan Barisan Nasional.

PRU-14 adalah “turning point” politik negara, apabila julung kalinya parti yang menerajui kerajaan sejak merdeka tumbang.

Tiada siapa yang membayangkan bahawa BN akan kehilangan kuasa, walaupun telah berlaku parti-parti kemerdekaan seperti GOLKAR, Indonesia, Congress, India dan LDP, Jepun juga pernah hilang kuasa. Antara 3 parti itu, hanya Congress dan LDP bangkit semula, akan tetapi tidak berterusan, kecuali LDP.

Pada PRU-15, BN cuba bangkit semula dan mengharapkan 21 juta pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab masing-masing memberi mandat pada parti itu untuk kembali berkuasa.

Indikasi bahawa BN akan kembali berkuasa, apabila menang pada PRN Melaka dan Johor. Kerana kemenangan tersebut, maka sebahagian pemimpin Umno yang diketuai Presiden parti itu, mendesak diadakan PRU-15 sesegera mungkin, kerana ini lah masanya, jangan tunggu besi panas sejuk semula, dan jangan tunggu lama-lama nanti direbut orang.

TOP5 Umno akan bermesyuarat pada 30 September ini, dan tentunya agenda utama yang dibincangkan dan diputuskan adalah tarikh pembubaran parlimen.

Setakat ini, tiada mana-mana menyokong diadakan PRU-15 diadakan sebelum tamat penggal, kecuali kumpulan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, walaupun kebanyakkan parti telah bersiap sedia menghadapinya.

Pembubaran parlimen kini di tangan Perdana Menteri. Apa yang pasti selepas pembubaran dan diadakan pilihan raya, sudah pasti dua jawapan, parti yang ditolak dan parti yang diberi mandat, atau juga boleh berlaku, semua parti ditolak, apabila tiada parti menang cukup kerusi menubuhkan kerajaan.

No comments:

Blog Archive