Friday, July 22, 2022

HARGA BARANG: BILA NAIK JANGAN HARAP TURUN SEMULA

KITA sudah biasa, mengharapkan harga barang yang telah naik turun semula, seperti punggok merindukan bulan.

Intervensi kerajaan cuba menurunkan harga, indah khabar daripada rupa, kecuali barang kawalan.

Benar kerajaan berjaya mengawal inflasi sehingga tidak mencanak naik, menerusi subsidi hampir RM80 bilion.

Harga barang naik, adalah isu yang tidak berkesudahan, akan tetapi apabila harga ayam dicadang diapungkan, rakyat menjadi riuh. Manakan tidaknya, ayam selain sumber protein utama juga kegemaran rakyat negara ini.

Kini isu harga ayam reda, kerana campur tangan kerajaan menanggung subsidi tambahan kos peternak ayam, dengan harga bumbung RM9.40 di Semenanjung, di Sabah RM12.00 se kilogram. Sementara di Semenanjung penjual ramai yang menjual di bawah harga bumbung, akan tetapi di Sabah pula setengah pasaraya atau kedai runcit menjual pada harga RM12.40 sekilogram.

Harga ayam bulat “selesai”, timbul pula isu telur. Isu telur, bukan sahaja harga naik, akan tetapi lenyap di pasaran.

Nampaknya, rakyat negara ini, macam dalam keadaan jatuh ditimpa tangga, sudah lah harga barang keperluan bukan kawalan mendadak naik, barangan dalam kawalan pula hilang di rak-rak pasar raya.

Barang keperluan rakyat yang tidak kurang menjadi rungutan rakyat, adalah minyak masak. Kerana kenaikan harga minyak kelapa sawit di pasaran global yang mencecah RM7 ribu setan, maka kerajaan menyediakan 60 juta tan minyak paket 1kg setiap bulan dengan harga RM2.50 sekilogram. Minyak bersubsidi ini untuk rakyat dalam golongan B40 dan bukan untuk tujuan komersil.

Pada peringkat awal, ramai rakyat ragu-ragu menggunakan minyak paket tersebut, kerana didakwa tidak mempunyai piawaian seperti minyak botol yang berjenama, atas sebab itu lah minyak seperti itu mudah didapat.

Kerana, kempen mengenainya, bahawa minyak tersebut, sama kualiti dengan minyak botol, bezanya, hanya dibungkus menggunakan polybeg untuk menunjukkan produk tersebut adalah barang bersubsidi dan barang kawalan, maka menjadi penyebab minyak tersebut menjadi pilihan. Kerana perubahan selera ini,maka minyak jenis tersebut lenyap di pasaran di banyak kawasan atau daerah.

Dilaporkan juga, faktor lain yang menyebabkan jenis produk tersebut lenyap, kerana selain dibotolkan,juga diseludup ke negara jiran.

Sebenarnya, isu kenaikan harga barang, bukan hanya terletak pada minyak masak, ayam dan telur,akan tetapi meliputi semua barang keperluan harian.

Di Sabah misalnya, ikan mata besar @uji rahsid, kini sudah berharga RM17.50/kg. Ikan jenis itu 70% adalah tulang, sebelum PKP dijual pada harga antara RM4.00-RM6.00 sekilogram. Jangan cerita lah harga ikan tengiri, ikan putih, selunsong,tabung, ikan merah atau kersisi bali, apa tah bawal, baik bawal hitam atau putih,lebih-lebih lagi bawal perak (sliver pomfret).

Bagi penulis, tidak salah harga barang naik, kerana respon terhadap teori ekonomi hubungan antara penawaran dan permintaan. Apabila permintaan melebih penawaran, maka untuk keseimbangan, maka harga perlu naik. Persoalannya, rakyat atau pengguna belum bersedia menghadapinya, kerana pendapatan tidak meningkat, walaupun dalam masa singkat rakyat yang mempunyai simpanan KWSP dapat wang lebih, sehinggakan memperburukkan hubungan antara penawaran dan permintaan yang sudah berada dalam keadaan krtikal.

Tiada siapa yang bersedia, selepas pembukaan semua semua aktiviti ekonomi selepas terjejas selama 2 tahun kerana PKP, mencegah Covid-19. Selepas pembukaan yang bersedia hanya pengguna yang ada lebihan wang kerana pengeluran KWSP, manakala penawaran yang digerakkan oleh pengeluar belum bersedia, kerana berbagai halangan, seperti kekurangan buruh, kekurangan bahan untuk diproses, kerana logisitik jaringan atau rantaian barangan belum pulih sepenuhnya.

Penulis dan mungkin rakyat lain di negara ini, akan terus berhadapan dengan harga barang yang telah naik harga tidak akan turun lagi, seperti mana berlaku pada tahun 2006, apabila kerajaan mengapungkan harga petrol, walaupun kemudiannya dikawal semula, akan tetapi harga barang tidak turun lagi.

Hubungan kenaikan harga barang dan pendapatan rakyat, boleh digambarkan sebagai hubungan degil, seperti juga isu kemiskinan, ada lah isu degil yang akan sentiasa dihadapi sampai kiamat.

No comments:

Blog Archive