Saturday, July 23, 2022

DI SEBALIK PH/PN BELI MASA & UMNO TAKUT PEMILIHAN PARTI

ADA anggapan, PH dan PN mahu PRU-15 diadakan selepas parlimen penggal ke-14 tamat pada 15 Julai, 2023, kononnya mahu membeli masa memulihkan kekalahan teruk pada PRN Melaka dan Johor. Manakala Umno pula dianggap sebaliknya, kerana takut pemilihan parti.

PH menggunakan MoU dengan Perdana Menteri sebagai asas penentuan pembubaran parlimen, manakala PN dan GPS mengunakan persetujuan dengan Perdana Menteri semasa memberi sokongan pada Ogos, 2021, dan sesuai dengan titah Agong dan Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri dan kerajaan perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah yang dihadapi rakyat, terutama krisis kesihatan dan krisis ekonomi dalam tempoh masa baki penggal parlimen. Ertinya, secara tidak langsung, sokongan PN dan GPS serta titah DiRaja Perdana Menteri perlu menerajui kerajaan hingga penggal ke-14 berakhir, kerana difikirkan, dalam tempoh masa itu, masalah yang menekan rakyat sekurang-kurang berkurang.

Hakikatnya samada PH dan PN, bagi pandangan penulis, tiada isu, apa kah PRU-15 dalam masa terdekat atau kah selepas Julai, 2023, kerana bagi dua parti itu, keadaan PRU-15, jauh berbeza dengan dua PRN negeri, Melaka dan Johor. Dua PRN tersebut seperti juga PRK, yang tidak mengubah kedudukan Kerajaan Persekutuan.

Di Semenanjung, Kerajaan-Kerajaan negeri tidak lah sesignifikan seperti kerajaan Sabah dan Sarawak yang mempunyai kabinet sendiri, mempunyai kementerian sendiri, sedangkan negeri-negeri di Semenanjung hanya exco, dan jawatan-jawatan kuasa yang meliputi berbagai agensi negeri.

Di pihak Umno pula, mempunyai isu pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum 29 Disember, 2022, jika permohonan parti menangguhkan pemilihan 2 kali berturut-turut tidak diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Umno sangat takut pada pemilihan, kerana pengalaman parti itu, selepas pemilihan, mereka yang berebut jawatan sukar memaafkan antara satu sama lain, dan memerlukan masa yang lama, untuk merapatkan saf semula. Juga, parti itu, takut, kelancaran berkempen akan terganggu, jika berlaku perubahan kepempimpinan terutama di peringkat cawangan dan bahagian, kerana dua unit tersebut adalah barisan hadapan dan jentera parti.

Bukan perkara baharu bagi Umno, kerana “terluka” selepas pemilihan, yang kalah sanggup “menikam” yang menang jika menjadi calon, untuk membuktikan yang menang jawatan parti bukan pilihan rakyat atau akar umbi. Oleh kerana pengalaman ini, maka parti itu “takut”sangat mengadakan pemilihan, apatah lagi, parti itu dalam agenda menebus kembali kekalahan pada PRU-14.

Di pihak Umno, memang ramai yang membangun persepsi, bahawa PH atau PN takut diadakan PRU-15 sebelum tamat penggal, kerana mahu membeli masa (buying time), manakala di pihak PH/PN pula tahu, apa maksud dan tujuan Umno mengadakan PRU-15 sebelum pemilihan parti atau pemilihan parti diadakan 6 bulan selepas PRU.

Sebenarnya, bagi penulis, samada PH,PN dan BN, semua parti itu dalam kategori membeli masa. Apa yang mereka lupa, apa pun strategi yang disusun atur, tiada yang boleh meneka atau meramal, apa keputusan rakyat, terutama Undi-18, pengundi baharu, pengundi pasif atau atas pagar, jika golongan ini membanjiri pusat-pusat mengundi pada PRU-15.

No comments:

Blog Archive