Saturday, April 02, 2022

GRS-BN - DILEMA PEMIMPIN SABAH

APABILA Kerajaan Sabah dijenamakan kepada Kerajaan GRS-BN, tersangat jelas, ego antara pemimpin sudah disimpan dalam lipatan.

Isu yang masih ada yang menyelubungi mereka adalah DILEMA!!! apabila dihubungkan dengan Persekutuan.

Para pemimpin parti yang diselubungi dilema adalah Bersatu dan Umno, kerana masing-masing masih terikat dengan parti masing-masing yang berpusat di Kuala Lumpur.

Hakikatnya, di peringkat negeri, baik Bersatu dan Umno sudah “memuktamadkan” hubungan menerusi perkongsian kuasa, menerusi Kerajaan GRS-BN.

Antara para pemimpin GRS-BN, hakikat sudah mereka terima, bahawa ego mesti diketepikan, perkongsian perlu diutamakan, kerja berpasukkan adalah pilihan terbaik, sebagai ramuan mujarab menoktahkan perebutan kuasa yang melatar belakangi politik Sabah yang menyebabkan kemajuan dan pembangunan negeri terbantut.

Sebenarnya para pemimpin Umno Sabah dan Bersatu Sabah sudah memberi isyarat, bahawa hala tuju parti itu berbeza sedikit dengan pusat didasari keadaan, lain padang lain belalang, apabila pada PRN-16 Sabah berganding bahu dengan parti-parti lain menerusi GRS. Mereka memahami, bahawa perkongsian pelbagai parti, hanya satu-tidak saling bertembung, sebaliknya saling menyokong semasa pilihan raya. Menerusi kaedah demikian, maka peluang menang tinggi.

Walaupun para pemimpin dalam GRS-BN, sudah berlaku ikatan yang kukuh, akan tetapi persimpangan berhadapan PRU-15, masih tanda tanya besar, atas sebab PRU tersebut menentukan parti mana bakal diberi mandat oleh rakyat menduduki Putrajaya, atau dengan kata lain, parti mana yang bakal menang kerusi terbanyak.

Sudah menjadi kelaziman dalam politik negara, mana-mana parti yang mempunyai kerusi terbanyak, maka parti itu lah dijemput menubuhkan kerajaan dan pemimpinnya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tidak dapat ditolak mood sekarang, BN ingin kembali sebagai parti dominan seperti mana sebelum PRU-14. Umno tunjang utama BN, telah melancarkan PROJEK 123, yang mana mengandungi, iltizam dan matlamat Umno/BN untuk kembali menjadi kerajaan; menguasai kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri; demi Umno yang moden dan segar.

Kerana senario ini lah, kebarangkalian bertembung tidak dapat dielak, kerana satu matlamat, masing-masing pihak ingin mendapat sebanyak mungkin kerusi. Persoalannya tidak berhenti di situ, Bersatu sebagai gabungan dalam GRS juga berhadapan dengan persimpangan, berkaitan pendirian GRS sendiri sebagai sebuah parti, pihak mana yang disokong membentuk kerajaan Persekutuan. Kedudukan GRS tidak serupa GPS (Sarawak) yang boleh memutuskan pihak yang disokong.

Senario demikian lah yang menjadi pelangi pada politik Sabah, walaupun Kerajaan GRS-BN cuba membina Sabah Baharu.

No comments:

Blog Archive