Tuesday, December 07, 2021

BAYARAN DIVIDEN BBN & GLC NEGERI-BUKTI PANDANGAN JAUH KERAJAAN


BAYARAN dividen Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat berkait kerajaan (GLC) secara konsisten pada Kerajaan Negeri, menunjukkan penubuhan BBN dan GLC oleh kerajaan lalu adalah pandangan jauh para pemimpin terdahulu.

Kerana orentasi tersebut, kerajaan negeri di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Haji Noor juga menubuhkan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat berasaskan petroleum- SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Hakikatnya penubuhan BBN dan GLC, selain bertujuan untuk mendapatkan dividen pada kerajaan, juga menyumbang pada aktiviti ekonomi negeri selain dapat menampung pencari-pencari kerja.

Juga badan-badan atau syarikat seumpama ini, bukan sedikit pemimpin politik tertampung di dalamnya, samada menjadi pengerusi, atau ahli lembaga pengarah (BOD).

Syogianya agensi seumpama ini diperlukan oleh sesebuah negeri, sebagai pembuka peluang-peluang perniagaan baharu dan juga lapangan pekerjaan.

Walaupun pada ketika ini, sumbangan terbesar pada perolehan negeri masih berasaskan cukai, akan tetapi di masa akan datang, apabila BBN dan GLC berkembang maju, dividen akan mengimbangi kutipan cukai.

Sesuai dengan visi Sabah Maju Jaya menjelang tahun 2025, sepatutnya akan banyak lagi BBN atau GLC diwujudkan, untuk membuka peluang pekerjaan pada anak-anak Sabah yang saban tahun bertambah. Adalah menyedihkan, apabila mendengar hujah Datuk Yakub Khan semasa persidangan DUN Sabah ke-16, setakat Oktober tahun ini, seramai 178,600 anak-anak Sabah menanggur, dan 63,507 daripadanya adalah graduan.

Harapan ibu bapa, pada anak-anak mereka yang memasuki pengajian tinggi, untuk mengubah hidup keluarga, akan tetapi hasrat tidak tercapai, kerana selepas keluar daripada universiti, masih tersenarai sebagai penganggur.

Bukan sedikit graduan yang tidak dapat menggunakan ilmu yang dipelajari di bangku kuliah,kerana terpaksa mengambil kerja yang tidak setimpal, hanya kerana untuk meneruskan kehidupan. Cuba bayangkan, jurutera, hanya bekerja sebagai “tele-marketing” atas talian, yang tidak memerlukan bertungkus lumus menamatkan pengajian kejuruteraan.

Mengikuti pembentangan Bajet Tahun 2022 bagi Negeri Sabah dan jawapan-jawapan Ketua Menteri berkaitan hala tuju Sabah Maju Jaya, memang terlihat, bahawa kerajaan GRS begitu agresif memajukan negeri dan rakyat.

Jika semua perancangan dan strategi kerajaan berjalan dengan baik, difikirkan menjelang tahun 2025, Sabah akan menjadi negeri maju, dan diharapkan pada masa itu, Sabah mencapai tenaga kerja penuh.

No comments:

Blog Archive