Saturday, September 04, 2021

SYED SADDIQ BERTANYA-APA JADI DENGAN SABAH?


WALAUPUN Syed Saddiq ada hak bercakap sebagai ahli parlimen, tetapi, fokus berkaitan Sabah, ada udang dibalik batu. Mengapa? Selangor, WP Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, sebelum ini begitu teruk sekali dilanda jangkitan Covid-19, tetapi, tiada video khas yang dimuat naik AP Muar tersebut.

Penulis percaya, video khusus Syed Saddiq tersebut, bertujuan membantu, para pemimpin Warisan, kerana, jika pemimpin Warisan yang bercakap, atau daripada DAP atau UPKO, rakyat Sabah langsung tidak mengambil peduli, kerana para pemimpin parti-parti tersebut adalah  punca mencanak semula jangkitan Covid-19 di Sabah.

Berkaitan kadar pemberian vaksin di Sabah masih rendah berbanding negeri-negeri lain  yang menjadi perhatian ahli parlimen tersebut, puncanya adalah jumlah vaksin yang dihantar ke negeri Sabah bermula daripada Mac, April, Mei dan Jun, tersangat rendah berbanding negeri-negeri lain jika dilihat daripada jumlah penduduk yang layak.

Kemudian, AP Muar tersebut membandingkan dengan Sarawak? Ini lah masalahnya, apabila seseorang memberi komen, bersandarkan kepentingan politik, untuk membantu pemimpin Warisan. mendapatkan sokongan daripada rakyat Sabah.

Syed Saddiq  terpanggil membantu rakan-rakan beliau dalam parti Warisan yang kerap dicemoh rakyat Sabah apabila bercakap berkaitan Covid-19.

Apabila membandingkan dengan Sarawak, sudah tentu, berkaitan dengan jumlah penduduk yang divaksin. Mengapa Sarawak boleh, mengapa Sabah tidak? Itu lah retorik yang ditanya AP Muar tersebut.

Semua pihak tahu, Sarawak bakal mengadakan PRN tahun ini, kerana penggal DUN negeri tersebut telah berakhir pada Jun, 2021. Hanya kerana proklamasi Darurat, maka DUN negeri tersebut tamat bersamaan dengan tamatnya Darurat pada 1 Ogos, 2021. Kerana pertimbangan, PRN akan diadakan, maka menjadi keutamaan bekalan vaksin.

Syed Saddiq cuba mempolitikkan vaksin untuk Sabah, sedangkan rakyat Sabah tahu benar, mengapa kadar pemvaksinan rendah.

Kerajaan Sabah telah menggerakan agensi kerajaan negeri di lapangan, dan menubuhkan pusat-pusat pemberian vaksin termasuk PPV bergerak (MOVAC). Sambutan penduduk Sabah bukan sahaja menggalakan, tetapi luar biasa, misalnya target MOVAC, 100 tetapi yang hadir 500.

Kelajuan pemberian vaksin untuk Sabah, bukan terletak pada pendaftaran MySejahtera, tetapi secara manual atau walk-in. 

Ada kemungkinan jumlah bekalan pada Sabah rendah pada awalnya kerana KKM dan MOSTI bersandar pada MySejahtera. Pendekatan tersebut adalah satu kesilapan awal. 

Menyedari kesilapan tersebut, maka bermula pada Julai, bekalan vaksin disandarkan pada kemampuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaksanakan suntikan. 

JKNS berkemampuan melaksanakan suntikan purata 60,000 sehari sejak Mei, 2021, tetapi pada masa itu, hanya boleh melaksanakan antara 10,000-12,000 sehari, malah ada PPV yang terpaksa ditutup, kerana kekurangan vaksin.

Isu rendahnya pemvaksinan di Sabah, bukan terletak pada kerajaan negeri atau JKNS, atau jumlah penduduk yang mendaftar, akan tetapi, terletak pada bekalan vaksin. Semakin tersedianya vaksin, maka semakin laju pemvaksinan, termasuk di kawasan-kawasan terpencil.

Di Sabah, semua wakil rakyat kerajaan terlibat proaktif berkaitan pemberian vaksin, terutama program outreach, melalui MOVAC.

Memang diakui, bermula minggu pertama Ogos, ada peningkatan pesakit yang perlu dirawat di hospital, sehinggakan penggunaan ICU melebihi kapasiti. Namun, dakwaan, bahawa banyaknya mangsa BID, kerana tidak sempat dirawat, bercanggah dengan data JKNS.

Mungkin Syed Saddiq terlepas pandang, apabila bekalan vaksin tersedia, maka kadar inokulasi harian konsisten pada keupayaan JKNS, atas sebab itu dalam masa singkat jumlah penduduk yang layak divaksin telah melepasi 60% sekurang-kurangnya 1 dos, dan lebih 40% 2 dos atau vaksin lengkap, pada penghujung Ogos, 2021, seperti mana sasaran yang dijadualkan. 

Sabah, menjelang Oktober menyasarkan sekurangnya 80% penduduk layak telah divaksin, sekurang-kurangnya 1 dos. Atas sebab itu, kerajaan Negeri, mengharapkan KKM dan MOSTI dapat membekalkan 2.88 juta vaksin untuk September dan Oktober.

Sekali lagi, diharapkan pada Syed Saddiq, jangan lah politikkan soal PICK Sabah. Kalau mahu membantu, tolong berbuat sesuatu, agar jadual dan bekalan vaksin ke Sabah berjalan lancar.

No comments:

Blog Archive