Monday, September 06, 2021

COVID-19: DUA BULAN LAGI KITA AKAN BEBAS


PADA 5 September, 15,926,601 individu atau 68% daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman twitter rasminya pada Isnin memaklumkan 36,431,562 dos vaksin Covid-19 diberikan menerusi PICK, termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.

Menurut JKJAV, 20,543,016 individu di negara ini menerima sekurang-kurangnya satu dos termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberi vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Malaysia bakal memasuki fasa endemik Covid-19 bermula hujung bulan Oktober ini selepas 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap dua dos vaksin, bagi vaksin dua dos atau satu dos vaksin bagi vaksin satu dos.

Endemik bermaksud sesuatu penyakit yang sentiasa terdapat di dalam sesuatu kawasan seperti daerah, negeri atau negara. Salah satu contoh penyakit endemik yang terkenal adalah malaria, demam kuning dan demam denggi.

Dalam waktu terdekat kerajaan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mudah termasuk membenarkan rakyat untuk bebas melakukan sebarang aktiviti termasuk merentas negeri.

Persoalan paling besar, adakah kita akan meraikan perkara ini sebagai satu kejayaan atau satu bentuk kebebasan mutlak?

Apabila semua itu berlaku, maka terpulang pada masing-masing, tanggungjawab soal kesihatan semuanya terletak pada setiap individu.

Kita perlu sedar bahawa hidup tidak sama lagi seperti dahulu dan segalanya nanti akan berada atas bahu sendiri sama ada mahu dijangkiti atau hidup selamat.

Dua bulan sahaja lagi kita akan dapat kebebasan yang diinginkan, tetapi hidup atau mati diri sendiri tentukan. Pilihan berada di tangan kita.

Pada ketika ini negeri yang masih berada dalam Fasa Satu ialah Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Kedah dan Johor.

Sementara negeri yang berada di Fasa Dua ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Sabah. Fasa Tiga ialah Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak.

WP Labuan merupakan satu-satunya wilayah yang kini berada pada Fasa Empat dengan kelebihan menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, tetapi mengikut SOP yang telah ditetapkan.

No comments:

Blog Archive