Tuesday, July 06, 2021

UMNO ERA ZAHID

UMNO era Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menukar perjuangan parti hampir secara total. Manakan tidaknya, parti sejak diwujudkan memperjuangkan pemimpinnya menjadi ketua, kalau tidak jadi ketua pun akan ikut suara ramai.

Semasa Tan Sri Muhiyiddin Yassin mendapat sokongan ahli parlimen pada Februari, 2020 dalam pusingan ke-2 semasa menghadap SPBA, Umno sebagai parti tidak menyokong, tetapi yang menyokong adalah ahli parlimen. Kerana bentuk sokongan demikian, maka diletakkan syarat, sokongan hanya sehingga parlimen dibubarkan. Dalam keadaan demikian, Umno masih kekal dengan perjuangan asalnya, tidak menyokong pemimpin lain, selain daripada pemimpin parti tersebut. Tetapi dalam keadaan genting, boleh bertolak ansur, demi rakyat dan negara.

Semasa AP Umno menyokong TSMY untuk membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN), ramai pemerhati dan juga rakyat, kagum terhadap parti tersebut, kerana sanggup mengenepikan ego, dan sanggup berkorban, semata-mata untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

Perjuangan Umno menaikkan pemimpin sendiri masih kekal, dan dibuktikan di Melaka, Johor dan Perak, apabila pemimpin parti itu dilantik Ketua Menteri atau Menteri Besar.

Tetapi, pendekatan tersebut berubah, apabila beria-ia sangat menyokong Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, untuk menggantikan Kerajaan yang disokong AP parti itu.

Kemelut dalam parti tersebut, tidak akan timbul, jika kekal dengan pendirian asal semasa semua AP menyokong kerajaan PN.

Suara akar umbi parti juga menyokong tindakan para AP parti tersebut, sebab itu lah, keputusan PAU2020 pada Mac, 2021, bersetuju, semasa PRU-15, No Anwar, No DAP dan No Bersatu. Namun, Presiden parti TIDAK puas dengan keputusan tersebut, beliau mahu perwakilan memberi mandat kepada Presiden untuk menentukan masa dan situasi menarik sokongan daripada Kerajaan.

Malangnya mandat yang diberikan itu, menyimpang daripada maksud awal perwakilan, berkaitan No Anwar dan No DAP. Kerana penyimpangan tersebut, 35 AP parti itu bertegas tidak akur dengan permintaan Presiden untuk menarik sokongan daripada Kerajaan PN, dan teguh dengan pendirian awal mereka, sokongan sehingga parlimen dibubarkan.

Pendirian para AP tersebut, bukannya tidak berasas, tetapi memang tepat, memandangkan perang yang sedang dihadapi belum mencapai kejayaan. Mereka tidak mahu tergolong pemimpin yang lari daripada peperangan.

Para AP parti memandang desakan menarik sokongan, bukan atas kepentingan rakyat dan negara, akan tetapi bermotifkan pribadi.

Tindak tanduk Presiden dan mantan Presiden serta beberapa AP yang sehaluan dengan mereka, tindak mencerminkan perjuangan Umno sebenar, iaitu perjuangan demi Agama Bangsa dan Tanah Air (ABATA), apabila serangan-serangan ditujukan kepada TSMY sebagai Perdana Menteri, tanpa melihat kepada kerajaan atau kabinet secara keseluruhan.

Serangan-serangan terhadap Perdana Menteri, berkisar kepada musuh yang dilawan berserta impaknya, samada daripada segi ekonomi dan sosial. Sedangkan para jeneral yang mengetuai melawan musuh tersebut adalah AP yang separti dengan Presiden, mantan presiden. Mereka menyalahkan, penyerang (pinjam istilah bolasepak) yang dikatakan gagal menjaring goal, kepada penjaga gawang, sedangkan penjaga gawang hanya menjaga gawang untuk tidak dibolosi. Jangan berlaku, semasa EURO2020, pada sebuah pasukan, kerana penjaga goal juga mahu menyumbat goal, akhirnya gawang sendiri dibolosi, kerana tiada yang menjaga.

Jika benar Presiden parti berjuang demi kepentingan rakyat dan negara, beliau boleh sahaja berbincang dengan para jeneral daripada parti, seperti Dato Seri Ismail SabriYaakub, Datuk Adham Baba dan Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar, waima dengan Tan Sri Annuar Musa atau Datuk Seri Hishamuddin Hussien, kerana mereka adalah sebahagian yang membuat keputusan kebertanggugjawaban bersama dalam kerajaan atau kabinet.

Tetapi apa yang berlaku (jika benar), adalah membelakangkan mereka ini, sebaliknya, Presiden dan mantan Presiden mengatur gerak, bagai mana menumbangkan Kerajaan untuk menaikkan Dato Seri Anwar Ibrahim. Satu persoalan besar, sejak bila Umno bermatian-matian berjuang menaikkan pemimpin lain?? Hanya era Zahid ianya berlaku...

No comments:

Blog Archive