Sunday, July 04, 2021

DI SABAH BERGEMANYA KITA JAGA RUMAH KITA

PELAN PEMULIHAN NEGARA (PPN) menggunapakai 3 nilai ambang sebagai indikator untuk bergerak dari satu fasa ke fasa berikutnya (4 fasa). 

Pelan atau langkah-langkah ini tidak mempunyai batas waktu, boleh berada lama dalam satu-satu fasa, atau jika telah bergerakpun ke fasa berikutnya, boleh berpatah balik, jika nilai ambang bagi 2 indikator- jumlah jangkitan, penggunaan katil ICU, semakin rendah semakin baik, manaka nilai ambang bagi indikator jumlah vaksinasi- semakin tinggi semakin baik, berlaku sebaliknya.

Kebolehgerakkan ke fasa berikutnya, 3 nilai ambang tersebut perlu bergerak bersama-sama, tidak boleh sebahagian. Mungkin atas asas ini, Sabah tidak termasuk dalam 5 negeri yang memasuki fasa dua PPN. Negeri-negeri tersebut adalah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Sabah dikatakan hanya memenuhi kriteria penggunaan katil ICU, manakala jumlah vaksinasi dan jumlah jangkitan belum dipenuhi.

Kerajaan Sabah menyedari, bahawa nilai ambang yang ditentukan sukar dipenuhi, berasaskan kekangan yang dihadapi negeri, terutama daripada segi topografi, logistik, akan tetapi, daripada segi pengurusan covid-19 di lapangan, Sabah telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan impak PRN-16 Sabah.

Kerana pengalaman dan pencapaian tersebut, Kerajaan negeri yakin, pelonggaran SOP PPN Fasa 1, boleh dilaksanakan menerusi penambah baikkan SOP 3.0 negeri.

Ekoran kepada penilaian tersebut, maka pada 28 Jun, 2021, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pelonggaran SOP PPN Fasa 1 beberapa sektor ekonomi dan sosial. Namun, SOP yang ditambah baik tersebut tersangkut di meja Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ekoran sangkutnya SOP ditambah baik tersebut, maka telah menimbulkan kekeliruan antara penguatkuasa dan pengerak aktiviti sektor-sektor yang dibenarkan.

Jika dilihat isu SOP yang ditambah baik tersebut, bukan isu sangat kritikal, akan tetapi mungkin terselit “ego” BERKUASA, maka perkara ringan menjadi berat.

Rentetan bangkangan Menteri yang menyeleras MKN, hampir semua pemimpin politik Sabah tanpa mengira latar belakang parti berdiri bersama-sama, menyokong Keputusan Kerajaan Negeri.

Semalam, Pengerusi Penyokong Wakil Rakyat GRS yang juga ADUN Usukan- Datuk Salleh Tun Said, untuk kali ke-2 membangkitkan SOP yang ditambah baik tersebut kepada Putrajaya untuk segera mewartakan SOP yang dipohon kerajaan negeri, supaya aktiviti sektor-sektor yang dibenarkan boleh beroperasi dengan lancar dan pada masa sama, mengelak menjadi punca jangkitan covid-19.

Akibat sangkutnya SOP yang dipohon Sabah, kenyataan yang tidak seharusnya berbangkit, apabila Presiden SAPP yang juga ADUN dilantik dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kelambatan atau bangkangan terhadap pelonggaran SOP PPN Fasa 1 bagi Sabah adalah tindakan yang tidak seharusnya berlaku.

Bagi Sabah, walaupun MKN mempunyai kriteria tertentu dalam penyediaan SOP, namun Kerajaan Negeri mempunyai panduan tersendiri berasaskan data dan sains, mendasari keputusan pelonggaran PPN Fasa 1.

Kini, isu yang mudah dan cepat, telah bertukar kepada sentimen, apabila BERGEMANYA KITA JAGA RUMAH KITA. Malah sesetengah pengamat politik, mendesak, sudah tibanya semua pemimpin politik Sabah berdiri bersama-sama menghentikan meremehkan rakyat Sabah.

No comments:

Blog Archive