NASIB baik, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak terperangkap desakan pihak-pihak tertentu untuk berbelanja sesuka hati sejak PKP1.0 sebagai TINDAKAN popular, sebaliknya berbelanja sesuai dengan perancangan dan strategi.
Melawan Covid-19, bukan seperti sprinter, sebaliknya maraton, kerana tiada yang pasti, akan bila kah pandemik ini reda atau berakhir.
Kerajaan memang sedar, impak kepada rakyat miskin dan termiskin berhubungan pelakasaan PKP, atas sebab itu berbagai bentuk bantuan disalurkan kepada kelompok sasar ini.
Selain itu, kerajaan juga sedar, bahawa bilangan mereka yang tergolong B40 akan bertambah jumlahnya, kerana kesan PKP.
Sehubungan itu, tindak balas kerajaan, memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi terkini, iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) tepat pada masanya bagi mengurangkan kesan negatif kepada golongan termiskin ini untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan kesengsaraan hidup berlanjutan akibat pelaksanaan PKP terbaru ini, apatah lagi jika dilanjutkan beberapa bulan lagi.
Persoalan pokok di sini adalah adakah kerajaan mempunyai dana cukup untuk memperkenalkan beberapa lagi pakej bantuan ekonomi khas untuk golongan rakyat begitu terkesan pada masa hadapan?
Adakah ini akan menyebabkan kerajaan jatuh bankrap dan tidak dapat lagi berfungsi pada masa hadapan?
Setakat ini, tujuh pakej rangsangan ekonomi dilancarkan berjumlah RM380 bilion atau kira-kira 24 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Daripada jumlah ini, sebanyak lebih RM73 bilion adalah suntikan langsung fiskal kerajaan. Kerajaan juga melancarkan Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM 322.5 bilion, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah Malaysia.
Kos lepas sehari apabila PKP 1.0 dilaksanakan pula adalah dianggarkan sebanyak RM2.4 bilion. Setakat suku pertama 2021, jumlah hutang negara berada pada tahap RM917.5 bilion atau secara nisbahnya kepada KDNK negara adalah pada tahap 58.5 peratus.
Tahap siling nisbah hutang negara kepada KDNK sudah dinaikkan pada Ogos tahun lalu daripada 55 peratus kepada 60 peratus. Tahap fiskal defisit negara ketika ini adalah pada sekitar enam peratus.
Pada suku pertama tahun ini pula, ekonomi Malaysia sudah menampakkan tanda pemulihan dengan pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus direkodkan pada Mac.
Pada April lalu, kerajaan menggunakan RM5 bilion daripada sejumlah RM19.5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi tujuan mempercepatkan perolehan vaksin.
Apakah makna semua data ini? Data ini jelas menunjukkan kerajaan begitu bertanggungjawab dalam membelanjakan dana, rizab dan hasil kerajaan dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini.
Kerajaan sedar cabaran wabak ini adalah seperti larian maraton, bukan sprinter. Bayangkan jika pada tahun lalu, kerajaan membelanjakan sepenuhnya segala dana dan wang yang ada, ketika ini kita mungkin sudah tidak ada lagi ruang untuk berbelanja dan menyelamatkan ekonomi negara serta ekonomi rakyat.
Akibatnya, sistem kesihatan mungkin akan lumpuh dan ekonomi mungkin tidak akan dapat bangkit kembali.
Tahun lalu, apabila kita melaksanakan PKP 1.0, ekonomi negara terjejas teruk apabila ekonomi menguncup pada kadar 28.8 peratus pada suku kedua dan 5.6 peratus untuk keseluruhan tahun itu serta kadar pengangguran meningkat hingga 5.3 peratus pada Mei tahun lalu.
Hakikatnya, kita tidak bersendirian, seluruh dunia juga mengalami keadaan ekonomi lebih kurang sama teruk kerana berhadapan cabaran yang mereka juga tidak pernah alami sebelum ini. Namun, ketika ini, kita sudah melihat ekonomi global semakin memulih dengan jangkaan pertumbuhan enam peratus tahun ini.
Begitu juga harga minyak dunia semakin memulih, sentimen dan keyakinan pelaburan serta perniagaan asing semakin meningkat, manakala kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Singapura, Korea Selatan dan beberapa negara sedang membangun seperti China sudah mencatatkan pertumbuhan positif pada suku pertama tahun ini.
Jadi, usaha berterusan untuk menyelamatkan rakyat dan peniaga begitu terjejas akibat pelaksanaan PKP terkini, iaitu golongan termiskin, rentan, B40 dan M40 serta peniaga dalam industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perniagaan mikro serta sekitar 2.8 juta rakyat terbabit dalam sektor tidak formal, perlu dilakukan.
Kerajaan sebenarnya boleh meminjam untuk menampung keperluan ini. Pertama, kita tidak perlu risau sangat peningkatan dalam kadar hutang dan fiskal kerajaan pada keadaan genting seperti sekarang.
Kerajaan boleh menaikkan had siling hutang, misalnya daripada 60 peratus kepada 75 peratus. Mengikut pengiraan kasar, bagi setiap satu peratus nisbah hutang kepada KDNK, nilainya adalah sebanyak RM15 bilion.
Jadi, jika kerajaan menambah nisbah hutang kerajaan kepada KDNK sebanyak tujuh peratus misalnya, dana fiskal tambahan sebanyak RM105 bilion boleh diperoleh.
Memang betul, ini akan meningkatkan lagi nisbah hutang negara kepada KDNK menjadi sekitar 67 peratus. Ini sebenarnya tidaklah seteruk mana. Negara maju lain ketika ini sudahpun meminjam hingga melebihi 100 peratus dengan tujuan untuk menyelamatkan rakyat mereka.
Lagipun, Malaysia pernah mencatat nilai nisbah hutang melebihi 100 peratus juga, iaitu pada 1986 dan 1987, dengan nisbah hutang kepada KDNK negara masing-masing pada kadar 103.4 peratus serta 101.7 peratus.
Negara kita tidakpun bankrap ketika itu, sebaliknya berjaya mengurangkan nisbah hutang berkenaan hingga pada kadar serendah 48.7 peratus pada suku pertama 2018.
Memandangkan kebanyakan bank utama di negara ini juga mencatat keuntungan, mungkin pinjaman moratorium secara menyeluruh boleh dipertimbangkan pada masa akan datang kerana golongan M40 juga terkesan teruk akibat pelaksanaan PKP penuh kali ini.
Pada masa hadapan, pelaksanaan dasar konsolidasi fiskal boleh dilancarkan untuk mengawal kembali tahap defisit dan hutang negara melalui pelbagai cara, seperti mereformasi sistem cukai sedia ada dan strategi struktural untuk meningkatkan pertumbuhan serta pelaburan negara.
Namun ketika ini, keutamaan perlu diberikan kepada ekonomi rakyat dan kelangsungan hidup rakyat.
No comments:
Post a Comment