Thursday, January 14, 2021

DI SEBALIK PROKLAMASI DARURAT

PENULIS secara terus terang, tiada kepakaran berkaitan perlembagaan negara, apa tah lagi undang-undang.

Penulis juga bukan ahli politik. Penulis hanya pemerhati dan berpandukan kepada suara ramai, atau keadaan sebenar yang berlaku untuk mengulas sesuatu kejadian. 

Mengenai keputusan SPBA memberi perkenaan proklamasi darurat kesihatan bermula 12 Januari hingga 1 Ogos, bukan sahaja berasas akan tetapi perlu. 

Penulis melihat keputusan proklamasi tersebut, bertujuan serampang dua mata- melawan pandemik covid-19 yang mengancam nyawa, dan mententeramkan suhu politik tanah air (walaupun kenyataan politik tidak terhenti, tetapi, hanya bersifat di atas kertas, tidak berimpak atau berkesan perubahan politik). 

Sejak Mac 2020, Negara sudah berada di bulan kesepuluh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP. 

Pada PKP 1.0 Kerajaan berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak Covid-19 menjelang Mei 2020. 

Akan tetapi gelombang ketiga wabak ini menerpa setelah pilihan raya negeri (PRN) Sabah berakhir pada 26 September, 2020 dan kemudiannya semakin tidak terkawal menjelang Januari 2021. 

Gelombang ketiga wabak ini lebih parah daripada gelombang kedua dengan kes aktif melepasi paras 30,000, berbanding 2,700 sewaktu kemuncak gelombang kedua. 

Negara terus dibelenggu wabak Covid-19 dan pentadbiran yang tidak begitu stabil yang akhirnya boleh menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Apabila kesejahteraan rakyat terjejas, maka negara mungkin akan berada di ambang ketidaktenteraman. 

Sedang negara bergelumang dengan gelombang ketiga wabak Covid-19, teraju pemerintahan negara juga dikatakan mungkin bertukar, mungkin tidak. Terdapat juga ura-ura bahawa pilihan raya umum bakal diadakan. 

Bagi memastikan semua pihak, pemerintah dan pembangkang serta rakyat dapat bekerjasama dalam menangani masalah Covid-19, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) telah menggunakan “kuasa” yang ada pada baginda untuk mengisytiharkan darurat ke atas seluruh persekutuan pada 12 Januari 2021. 

Memang benar apa yang dikatakan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bahawa tidak perlu untuk mengisytiharkan darurat kerana negara dalam keadaan aman. 

Akan tetapi, perlu diingat bahawa pergolakan politik tetap berlaku di Malaysia dan ini telah terjadi di dalam negara sejak awal tahun 2020. Beberapa bulan yang lalu, terjadi pergelutan politik di Sabah yang menyaksikan PRN berlangsung dengan tewasnya kerajaan Warisan pimpinan Shafie Apdal. Ramai percaya, akibat daripada PRN Sabah, Covid-19 sekarang kembali mengganas di Malaysia. 

Dengan kes harian mencatatkan purata empat angka setiap hari, sistem kesihatan Malaysia boleh lumpuh. Maka pengisytiharan darurat adalah wajar demi memastikan kerajaan sedia ada boleh berfungsi dengan baik dalam memerangi wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat serta membendung aktiviti ‘politiking’ berlebihan yang boleh menimbulkan kekacauan. 

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sendiri menegaskan bahawa darurat kali ini bukanlah bersifat ketenteraan dan rakyat masih boleh menjalani kehidupan seperti biasa tertakluk kepada syarat-syarat PKP. 

Parlimen mungkin boleh digantung, tetapi itu tidak bermakna kerajaan tidak dapat menjalankan tugas mentadbir negara. Setelah Covid-19 dapat dibendung dan kesejahteraan rakyat dipelihara, barulah darurat boleh ditamatkan bagi mendokong aspirasi demokrasi dengan memberi ruang untuk pilihan raya umum (PRU) diadakan. 

Adalah tidak adil untuk menuduh bahawa pengisytiharan darurat akan menyebabkan kerajaan sedia ada menjadi diktator kerana mengikut amalan terdahulu melalui Mageran, amalan demokrasi telah dikembalikan setelah ketenteraman di dalam negara dipulihkan. 

YDPA telah menolak permohonan pengisytiharan darurat pada Oktober 2020 yang dinasihatkan oleh perdana menteri sebelum ini dan sebaliknya menitahkan ahli-ahli politik berhenti bercakaran. Ini menunjukkan baginda amat berhati-hati dalam menentukan sama ada perlu atau tidak darurat diisytiharkan. 

Namun, seperti yang dijangka, sesetengah ahli politik masih tidak lagi berhenti bercakaran sehingga ada yang mencadangkan PRU diadakan meskipun Covid-19 masih mencengkam negara. 

Disebabkan kes jangkitan Covid-19 yang belum menampakkan tanda-tanda akan mereda, baginda memperkenan untuk mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021. Pengisytiharan oleh baginda mestilah dijunjung oleh semua. 

Rakyat juga akan memerhatikan apa yang dilakukan oleh kerajaan dalam membendung wabak berbahaya ini. Sekiranya kerajaan sedia ada tidak mementingkan kebajikan warga, pilihan terserah kepada rakyat dalam menentukan kerajaan seterusnya menjelang pilihan raya umum ke-15 nanti. 

Selain itu, proklamasi darurat ini, tiada maksud menyebabkan mana-mana pihak lemas dalam kolam yang cetek, sebaliknya ianya boleh menjadikan medan untuk menunjukkan, juara rakyat, jika dihayati disebalik proklamasi darurat oleh SPBA. Selamat mengatur strategi kepada semua pemimpin. Fikir-Fikirkan.

No comments:

Blog Archive