Tuesday, March 31, 2020

WABAK COVID-19-PADA AWALNYA DIAMBIL MUDAH

MENGERUNKAN (KLIK UPDATE TERKINI) melihat perkembangan dramatik Covid-19 di seluruh dunia sejak ia mula dikesan pada Disember 2019.

Ia menjadi dramatik kerana virus itu sudah sampai di Amerika Syarikat dan United Kingdom, 2 negara utama Barat. Bila keadaan itu berlaku, dunia yang sentiasa berkutubkan Washington-London baru tersentak dengan wabak menggila ini.

Sekiranya wabak ini hanya berlaku di benua lain, sama ada di Asia atau Afrika, maka sifat globalnya tidak dirasakan, walaupun ia sudah berminggu-minggu berada di China negara jentera ekonomi dunia.

Sebenarnya pakar-pakar di Barat secara umumnya sudah menjangkakan satu wabak besar akan berlaku dalam waktu terdekat, tetapi tahunnya tidak dapat diramalkan, ia berdasarkan sejarah dunia.

Ini kerana bencana wabak besar berskala pandemik dijangka berlaku setiap 100 tahun. Pandemik terakhir ialah Selesema Sepanyol atau “Spanish Flu” yang berlaku pada 1918, menurut rekod telah menelan mangsa 50juta nyawa.

Tidak diketahui mengapa kitaran 100 tahun itu berlaku, tetapi dunia sepatutnya sudah siap menghadapai sebarang pandemik baharu.

Bill Gates, sejak bersara daripada Microsoft, yang banyak membuat kajian dan pemerhatian, ada menulis untuk memberi ingatan mengenai perkara ini. Malah, ahli akademik juga mengkaji perkara ini.

Covid-19 tidak kelihatan. Pada mulanya manusia terjangkit, ia tidak diketahui. Dalam masa 14 hari, manusia tidak menunjukkan simptom. Pada masa itu, ia mula merebak dan mampu membunuh melalui jangkitan di paru-paru. Tidak ada ubat, tidak ada vaksin, macam zombi.

Walaupun dalam fiksyen dan jangkaan saintifik, virus itu boleh muncul dari hutan dan haiwan liar, malah ada yang menggambarkan kemunculannya di selatan China, tetapi manusia dan dunia tidak bersedia.

Ketika Covid-19 mula muncul di Wuhan, pihak berkuasa tempatan masih sukar mempercayainya. China bertindak cepat dengan menutup Wuhan dan membina hospital sementara. Ia juga memaklumkan Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO).

Laporan dari Wuhan tidak mengejutkan dunia. Walaupun WHO mengadakan sidang akhbarnya setiap hari, tetapi ia masih tidak melihat Covid-19 sebagai serius yang menuntut semua negara bersedia.

Malah, ada pendapat di Jerman mengenai cara China itu tidak betul. Dunia Barat terlalu obses dengan hak kebebasan, ditambah pula perspektif mereka bahawa China diperintah komunis yang tidak menghormati kebebasan individu.

Walaupun Wuhan dikurung, Covid-19 ini terlepas keluar melalui pelancong China yang bergerak awal sebelum sambutan Tahun Baru Cina. Kapal persiaran Diamond Princess pula membawa penumpang terjangkit ke Jepun.

Pada mulanya, ada yang beranggapan Covid-19 akan merebak di kawasan tempatan di Wuhan saja, seperti mana Ebola di Afrika, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di Asia dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) di Timur Tengah.

Ia dirasakan Covid-19 tidak menjadi pandemik global. Tetapi, Wuhan dan China tidak seperti Afrika dan Timur Tengah. Pelancong China pergi ke merata dunia dan mampu membawa virus bersama.

Setelah pasukan WHO melawat Wuhan, barulah mereka menyedari keadaan lebih serius daripada dijangka. Mereka meminta negara lain bersedia mengikut langkah diambil China, iaitu melaksanakan perintah kurungan, penjarakan sosial dan haramkan perhimpunan besar.

Tetapi, negara lain lambat bertindak. Covid-19 sampai ke Iran dan Itali. Perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur tidak sempat dihalang. Kluster baru penyebaran Covid-19 muncul. Dari situ virus tersebut sampai ke Brunei, Kemboja dan negara lain.

Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Vatican di Rom kemudiannya ditutup. Seperti mana dalam filem bencana global yang dibuat di Hollywood, sentiasa ada gambaran jemaah di Masjidil Haram dan perhimpunan depan Pope bagi mendoakan keselamatan dunia daripada bencana global. Tetapi, kali ini dengan sifat bencana Covid-19, tempat-tempat keagamaan itu ditutup.

Ada negara yang mempertikaikan seruan WHO dan kaedah China. Di Britain, ada yang menolak kaedah perintah kurungan. Mereka cadangkan Covid-19 merebak supaya ada sebahagian penduduk yang imun dan menjadi benteng kepada penularannya.

Di Sweden, terdapat anggapan tidak ada asas sains perintah berkurung dapat membendung virus itu.

Di AS pada awalnya, Trump menganggap Covid-19 adalah helah. Ia seperti kalangan lain daripada Parti Republikan dan golongan kanan meragui fakta sains termasuk perubahan iklim.

Mereka menganggap wujud konspirasi di kalangan golongan liberal yang mereka cerita untuk menghalang perniagaan dan korporat.

Sememangnya langkah kawalan virus ini menjejaskan perniagaan dan ekonomi negara. Ia berlaku kepada negara yang melaksanakan perintah kurungan penuh atau separa.

Apa yang jelas kini, Covid-19, bukan sahaja memerangkap dunia, akan tetapi rakyatnya sekali. Perintah kurungan atau perintah kawalan pergerakan, telah mengubah kebiasaan manusia, malah mempengaruhi perlaku mereka semasa dalam masa kurantin.

Di Malaysia, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah, 14 hari terakhir adalah penanda aras, apa kah Malaysia berjaya membendung serangan virus pembunuh ini. Untuk itu, berjaya atau tidak menurut beliau sangat terletak pada seluruh rakyat Malaysia tanpa terkecuali termasuk mereka yang dibarisan hadapan pasukan kesihatan.

Malaysia telah menguatkuasakan PKP 14 hari bermula 18 Mac-31 Mac, kemudian dilanjutkan lagi selama 14 hari bermula esok sehingga 14 April, 2020.

Kerajaan telah mengumumkan Pakej Prihatin berhadapan serangan Covid-19 berjumlah RM250bilion, termasuk RM25bilion suntikan tunai yang akan diagihkan kepada rakyat yang terjejas.

No comments:

Blog Archive