Friday, June 21, 2019

ESSCOME, ATB2 BOLOS LAGI- RAMLEE

PENAT sudah mendengar, berbagai alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa setiap kali berlakunya jenayah penculikan di kawasan keselamatan pantai timur Sabah (ESSZONE).

Bukan sedikit perbelanjaan digunakan sejak penubuhan ESSCOM, semata-mata untuk menjaga kawasan yang terletak dalam wilayah ESSZONE. 

Wilayah ESSZONE, bukan sahaja kawasan aktivtiti ekonomi, akan tetapi wilayah yang ramai penduduk, selain lokasi-lokasi pelancongan, seperti Pulau Sipadan. 

Selepas penculikan demi penculikan berlaku dan puncaknya pencerobohan pengganas sulu pada tahun 2013, maka kerajaan menubuhkan ESSCOM bagi menjaga 1400 km kawasan pantai di Pantai Timur Sabah, daripada Kudat hinggalah ke Tawau yang dipanggil sebagai ESSZONE. 

Matlamat utama ESSCOM adalah untuk mengawal ESSZONE. Dengan terwujudnya agensi tersebut, maka rakyat Sabah khususnya yang mendiami kawasan tersebut meletakkan harapan besar bahawa bukan sahaja dapat membendung penjayah rentas sempadan yang bermatlamat wang tebusan, akan tetapi dapat menghalang pencerobohan warga asing memasuki perairan negara. 

Berdekad lamanya, kumpulan penjenayah rentas sempadan Abu Sayyaf yang berpusat di Filipina menjalankan aktiviti penculikan bermotifkan wang tebusan telah mensasarkan kawasan ESSZONE, dan sehingga kini, kumpulan yang sama bukan sahaja aktif akan tetapi semakin ganas. Berpuluh sudah mangsa culik, malah sebahagian mangsa telah dibunuh. 

Apabila ESSCOM ditubuhkan, telah mengisyaratkan, bahawa aset pertahanan digerakkan di kawasan ESSZONE termasuk pemasangan radar canggih. Bukan itu sahaja, ESSCOM dijadikan sebagai command terpusat penyusunan kawalan sempadan dan perairan yang termasuk dalam ESSZONE. 

Penubuhan ESSCOME sudah tentunya memerlukan peruntukan yang cukup besar yang membabitkan wang negara, namun selepas 6 tahun ditubuhkan, masalah yang sepatutnya diselesaikan dan dinoktahkan, tidak juga berpenghujung. 

Pada pagi 18 Jun, 2019, sekali lagi kawasan ESSZONE dibolosi, dan kali ini giliran perairan Lahad Datu, yang juga dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang sama yang mana sepatutnya terhalang/tercegah menerusi penubuhan ESSCOME. 

Tindakan penculikan pada pagi selasa lalu, tidak seperti mana biasa, kerana sekian lama, mangsa sasaran kumpulan penjayah tersebut adalah para individu yang mempunyai nilai wang tebusan, namun pada kali ini, julung kali melibatkan mangsa yang kurang nilai daripada segi wang tebusan. 

Penjenayah Abu Sayyaf cukup pakar memilih mangsa yang mempunyai nilai kewangan, sebab itu dalam rekod mangsa culik, mereka yang tergolong “palahu” atau “bajau laut” tidak pernah dijadikan sebagai mangsa culik. 

Sebenarnya, siapa pun menjadi mangsa culik di kawasan yang dikawal ESSCOM dan ATB2, bukanlah isu utama, isu utamanya adalah, berkaitan kebolosan kawasan yang dikawal tersebut, kerana telah diuar-uarkan oleh mereka yang diberi tanggungjawab, bahawa aset serta kelengkapan yang membantu kawalan mempunyai kemampuan yang amat canggih. 

Pada April lalu, Komander ATB2 bagi ESSZONE- Brigeder General Datuk Zarondin Md Amin menegaskan selepas tugasan ESSCOM diambilalih oleh Pangkalan Operasi Hadapan di bawa command Angkatan Tentera Malaysia, kebarangkalan berlakunya jenayah culik rentas sempadan sangat minimum sekali, atas sebab beberapa radar canggih yang boleh mengesan imej perentas sempadan telah di pasang di lokasi-lokasi panas, seperti di Pulau Mataking, Tambisan dan Tungku. 

Sebagai bukti kepada keberkesanan radar yang dikendalikan oleh ATB2, pada awal April lalu, ATB2 menahan lima lelaki bersama senjata api dan peluru hidup memasuki perairan Pulau Mataking. Menurut Komander ATB2, Brig Jenral Datuk Zarondin Md Amin, bot dinaiki kumpulan bersenjata itu dikesan oleh radar selepas bergerak laju dari perairan Sitangkai, Filipina menuju perairan Sabah. Menyedari pergerakan bot tersebut, Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) memintas bot tersebut. 

Namun, kejayan memintas pada awal April lalu, tidak berulang pada 18 Jun, apabila 10 kru nelayan daripada Lahad Datu yang sedang menuju Semporna, dengan mudah dapat diculik di kawasan Felda Sahabat 9 antara 2-2.45 pagi, sedangkan kawasan itu dilayan oleh 3 radar canggih daripada ATB2. Apa yang malang lagi, semasa kejadian culik itu berlaku, ianya dalam tempoh perintah berkurung. 

Nampak gayanya, melihat kejadian culik pada 18 Jun, radar milik ATB2, kurang berfungsi pada tempoh perintah berkurung, sebaliknya berkesan pada cuaca terang seperti mana keadaan cuaca pada 11 April, 2019 apabila dapat mengesan dengan jelas bot yang dinaiki mantan ADUN Bogaya- Datuk Ramlee Marahaban. 

Adalah menjadi tanda tanya besar bagi rakyat Sabah di kawasan ESSZONE, apa kah keselamatan mereka terjamin? Atas sebab, walaupun berbagai aset, jumlah anggota keselamatan termasuk disokong oleh persenjataan canggih, pun demikian, dengan mudah dapat diceroboh oleh penjayah rentas sempadan. 

Alangkah gahnya, jika radar yang dikendalikan ATB2 bersama-sama pasukan gerak cepat di bawa kendalian pasukan tersebut dapat memintas penjenayah pada 18 Jun dan memperlakukan penjenayah tersebut seperti mana mereka lakukan terhadap bot yang dinaiki Ramlee pada pagi 11 April, 2019, yang dipintas oleh Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) dari 8RRD(PARA) diketuai Sarjan Salleh Zakaria. 

Jika sekiranya pasukan ATB2 pada pagi 18 Jun berjaya seperti mana pada 11 April, sudah tentu kenyataan media komander ATB2 akan memenuhi dada akhbar tempatan termasuk laporan-laporan portal atas talian. 

Dalam kejadian pada pagi 18 Jun, nampaknya hanya Ketua Polis Sabah- Datuk Omar Mammah yang membuat kenyataan, sedangkan beliau dan polis bukanlah sebahagian daripada ATB2. 

Ramlee dalam saman pemula beliau terhadap tiga defendant yang difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Kota Kinabalu, yang mana defendant pertama adalah Komander ATB2- Brigeder General Datuk Zarondin Md Amin kerana tindakan tidak profesional oleh dua anggota ATB2, iaitu Major Nizam Sazali dan Sarjen Salleh Zakaria terhadap beliau yang menuduh sebagai penjenayah rentas sempadan, malah atas laporan salah oleh dua anggota tersebut, Komander ATB2 tanpa usul perikasa membuat kenyataan akhbar, bahawa pasukan ATB2 berjaya menangkap 5 individu bersenjata di perairan Pulau Mataking, dan kemudiannya disiarkan oleh media arus perdana dan portal atas talian. 

Adalah dipercayai bahawa kenyataan media komander ATB2 tersebut adalah tindakan perang saraf berkaitan keupayaan ATB2 mengawal kawasan ESSZONE, walaupun terpaksa mengkambing hitamkan, bot yang dipintas bukan pada masa perintah berkurung. 

Kini, menerusi kejadian pada 18 Jun pagi, di perairan Sahabat 9, Lahad Datu, terbukti, keupayaan ATB2 mengesan penjenayah sebenar tidak berlaku. 

Dalam kandungan saman Ramlee, antara lain mantan ADUN Bogaya dan Pembantu Menteri Kewangan Sabah tersebut, menyebut, bahawa dua anggota ATB2 yang memperlakukan beliau sebagai penjenayah semasa bot beliau dipintas dan ditahan, dengan angkuh menyatakan bahawa pasukan mereka bukan di bawah ESSCOM sebaliknya daripada pasukan Pangkalan Operasi Hadapan di bawah pasukan ATB2. 

Melihat kepada kejadian culik pada 18 Jun, nampaknya, “chain of command” di kawasan ESSZONE itu bercelaru, yang menyebabkan ketidak upayaan pasukan yang ditugaskan mengesan penjenayah sebenar. 

Kelemahan “chain of command” betapapun banyaknya aset, betapa canggihnya radar, tidak akan dapat berfungsi dengan efektif. 

Memang diakui, bahawa ATB2 mempunyai aset, namun, keupayaan anggota yang menggunapakai aset tersebut diragui, sebab itulah kawasan ESSZONE dibolosi untuk sekian kalinya. 

Berasaskan kepada kejadian terbaru penculikan di kawasan ESSZONE, penstrukturan semula ESSCOM perlu disegerakan, dan menerusi penstruktutan tersebut, kuasa sepenuhnya diberikan pada pasukan polis, maritim dan pasukan gerak am, yang mempunyai kuasa menangkap, menyiasat dan mendakwa, manakala pasukan ATM, perlu menyokong daripada segi aset termasuk radar. 

Juga menerusi penstrukturan tersebut, bidang kuasa masing-masing perlu diperjelaskan supaya tidak berlaku pertindihan tugas atau bidang kuasa. 

Kelemahan yang dilihat mengapa ESSZONE yang sudah beroperasi selama 6 tahun, dapat dibolosi oleh penjenayah rentas sempadan, penyeludup samada daripada negara ini atau sebaliknya, kerana tidak jelasnya bidang kuasa masing-masing agensi, termasuk pertindihan kuasa. Kelemahan ini yang diambil peluang oleh penjenayah. 

Melihat kepada jumlah aset dan anggota keselamatan yang di tempatkan di kawasan ESSZONE sebenarnya lebih daripada cukup, kelemahan hanya kerana adanya pertindihan kuasa atau tugas. Menerusi pertindihan tersebut, maka secara tidak langsung berlaku, apa maksud peribahasa seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. 

Jika sekiranya tidak berlaku pertindihan tugas atau kuasa, mendasari gerakan operasi di kawasan tersebut termasuk perintah berkurung, sebenarnya sudah mengerunkan para pelaku jenayah. 

Ramlee ketika dihubungi, berkaitan berlakunya penculikan pada pagi 18 Jun, bukan sahaja terperanjat, akan tetapi, telah membuktikan, saman beliau terhadap komander ATB2 berasas, bahawa beliau sebenarnya dikambinghitamkan, sebagai pembuktian bahawa ATB2 sangat efektif menjaga kawasan ESSZONE. 

Kini, apabila penjenayah rentas sempadan sebenar berjaya melakukan penculikan, tidak terdengar, komen-komen daripada pasukan ATB2. 

Ramlee menyokong sepenuhnya kenyataan Ketua Menteri Sabah, agar ESSCOM distruktur dengan segera, khususnya yang berkaitan dengan “chain of command” jika tidak, tiada jaminan peculikan rentas sempadan tidak akan berulang.

No comments:

Blog Archive