Thursday, March 21, 2019

AKAN TAMAT KAH TINDAKAN LOMPAT PARTI DI NEGARA INI?

AMALAN lompat parti atau bertukar parti tidak akan tamat di negara ini, selagi kebebasan berpersatuan seperti mana terkandung dalam  Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan masih kekal.

Tindakan lompat parti membawa 2 makna- lompat parti menyebabkan sesebuah parti hilang kerajaan, dan lompat parti kerana hijrah yang tidak mempunyai impak kepada parti yang ditinggalkan.

Persoalan utama di negara ini, apabila seseorang wakil rakyat yang dipilih apabila mengosongkan kerusi sebelum tamat tempoh sepenggal dilarang bertanding semula, namun jika undang-undang menghalang ini dimansuhkan, maka mungkin isu lompat parti tidak menjadi persoalan, kerana wakil yang melompat boleh bertanding semula menerusi pilihan raya kecil.

SPR perlu mengubah undang-undang ini, apabila seseorang mengubah parti dengan apa cara pun, sebelum tempoh masa, maka secara automatik kawasan yang diwakili kosong, dan PRK perlu diadakan, dan wakil rakyat yang melompat itu boleh bertanding semula.

Isu lompat parti bergema semula selepas PRU-14, apabila Kerajaan Sabah yang dibentuk pada 10 Mei, 2018 tumbang, ekoran 6 ADUN daripada kerajaan yang menubuhkan kerajaan tersebut berpaling tadah, menyokong parti lawan, kerana mereka ini tidak dilantik pada kedudukan menteri atau pembantu menteri. 

6 ADUN Bn itu dijanjikan kedudukan apabila menyeberang atau melompat, namun apabila mereka bertindak demikian, hanya seorang dilantik ke jawatan  Menteri dan seorang pembantu Menteri, manakala yang lain dibiarkan melopong, namun kata peribahasa, nasi sudah menjadi bubur, mereka tiada jalan pulang lagi.

Ekoran insiden lompat parti 6 ADUN Bn pada 11 Mei,2018 gema lompat parti yang menyebabkan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) tumbang kepada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1994, kembali melakar drama politik Sabah.

Walaupun BN Sabah sudah mengumumkan membentuk kerajaan dan mengangkat sumpah Ketua Menteri, selepas mendapat majoriti mudah hasil kerjasama dengan STAR, lewat malam 10 Mei,2018.

ADUN BN lompat parti

Bezanya kali ini ADUN BN melompat parti kepada WARISAN. Pada 1994, BN menerima ADUN PBS yang melompat hingga memaksa Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengundur diri sebagai Ketua Menteri dan menyerahkan kuasa kepada BN.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 1994, PBS kembali membentuk kerajaan selepas mendapat majoriti mudah 25 kerusi daripada 48 kerusi DUN ketika itu, manakala baki 23 kerusi dikuasai BN.

Bagaimanapun, kerajaan PBS ketika itu hanya bertahan dua minggu selepas sebahagian besar wakil rakyatnya melompat menyertai BN dengan dimulai oleh tiga pemimpinnya iaitu Datuk Lajim Ukin (Klias), Datuk Rubin Balang (Kemabong) dan Zaini Mat Isa (ADUN dilantik).

Tindakan mereka kemudian diikuti pemimpin lain termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Bernard Dompok dan Setiausaha Agung, Tan Sri Joseph Kurup yang masing-masing menubuhkan UPKO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), selain adik Pairin sendiri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Selepas insiden lompat-melompat itu, PBS akhirnya hanya mempunyai tiga wakil rakyat, iaitu Pairin, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Datu Amirkahar Datu Mustapha sekali gus memaksa Pairin melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 17 Mac 1994.

Selain drama lompat-melompat parti, satu lagi situasi hampir sama turut berlaku selepas PRU-14, iaitu proses angkat sumpah Ketua Menteri di Istana Negeri yang terpaksa ditangguhkan hingga lewat malam.

Selepas mengumpul 31 ADUN untuk membentuk majoriti mudah, Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman datang menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, petang 10 Mei, bagaimanapun, konvoi Musa terpaksa berpatah balik ke kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya kira-kira sejam kemudian sebelum sekali lagi ke Istana Negeri pada kira-kira jam 8 malam, namun proses angkat sumpah hanya dapat dijalankan pada kira-kira jam 11 malam.

Pada 1994, Pairin terpaksa menunggu hampir 36 jam di luar Istana Negeri kerana tidak dibenarkan memasuki kawasan istana sebelum dapat mengangkat sumpah.

No comments:

Blog Archive