Dalam politik Malaysia sekarang ini, kita terpaksa memberi pengertian antara LOMPAT dan HIJRAH.
Seseorang wakil rakyat masuk kategori lompat, jika menyebabkan sesebuah kerajaan kehilangan kuasa, namun jika sebaliknya, ianya hanya hijrah.
Di negara ini, ada tiga peristiwa lompat parti yang menyebabkan sebuah kerajaan hilang kuasa. Pertama adalah pada tahun 1994, di Sabah, PBS hilang kuasa, kedua tahun 2009, apabila Pakatan Rakyat (PR) hilang kuasa di Perak dan ketiga tahun 2018, kedua bagi Sabah, apabila BN PLUS hilang kuasa.
Menjelang September tahun 2008, ada gerakan lompat parti yang dinamakan gerakan 16 september, yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun gerakan itu tidak menjadi kenyataan.
Gerakan hijrah pula, kini berlaku ke atas para wakil rakyat Umno. Parti itu yang memenangi 54 kerusi parlimen pada PRU lalu, kini berbaki 38, apabila 16 wakil rakyatnya telah berhijrah, 3 telah diterima oleh PPBM, manakala 13 lagi, masih berstatus wakil rakyat bebas. Di Sabah mereka menamakan diri mereka, BEBAS BERSATU, kecuali seorang MP yang masih tetap dengan status bebas.
Tindakan lompat atau hijrah, tidak boleh dikatgorikan sebagai tindakan, talam dua muka, gunting dalam lipatan, duri dalam daging, yang mana erti peribahasa 3 perkataan itu membawa makna, musuh datangnya daripada dalam parti/kumpulan sendiri. Dua tindakan itu, adalah tindakan terang-terangan, hanya bezanya, lompat masuk kategori khianat/tikam belakang kerana menyebabkan parti/kumpulan sendiri kehilangan kuasa, manakala hijrah, hanya tindakan memisahkan diri daripada kawan-kawan/kumpulan untuk menyertai pihak lawan, namun tidak membawa kemudaratan kepada parti/kumpulan.
Tindakan lompat/hijrah parti, tidak terhad di Malaysia saja, ianya berlaku di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi. Sebenarnya, tindakan seumpama ini lah menjadikan dunia demokrasi itu sungguh berwarna warni. Memang, tindakan itu ada yang menyebabkan pihak lain bergembira, manakala di pihak lain bersedih, namun, ianya merupakan asam garam dalam dunia politik, kerana dunia politik itu penuh dengan berbagai kemungkinan.
Membendung dua tindakan ini, ada yang mencadangkan, agar undang-undang anti lompat diperkenalkan, namun ianya ada yang pro dan kontra, pendek kata, tindakan seumpama ini, hanya dapat dibendung oleh wakil rakyat itu sendiri secara individu, kerana Kelantan telah membuktikannya, pada tahun 2004, apabila kerajaan yang dibentuk di negeri itu, hanya mempunyai kelebihan 2 kerusi, namun bertahan sehingga sepenggal, meskipun berbagai usaha, supaya ada ADUN melompat untuk membolehkan Bn mengambil kerajaan Negeri pada masa itu.
No comments:
Post a Comment