Monday, December 17, 2018

RUANG DAN PELUANG POLITIK

Setiap parti politik yang ditubuhkan, matlamatnya adalah untuk mendapatkan kuasa. Kuasa yang diberikan rakyat. Sebab itulah sesebuah parti menentukan hala tuju perjuangan. 

Mendapatkan mandat daripada rakyat bukan mudah, seperti mana disuratkan dalam kertas, dituangkan dalam manifesto. 

Tiada yang boleh menduga arah atau kecenderungan rakyat secara tepat. Parti politik hanya boleh menggariskan hala tuju perjuangan, samada diterima dan disokong akan dilihat pada pilihan raya.

Pada PRU-14, di Sabah tiada yang menduga bahawa Parti Warisan Sabah akan dapat menawan 16 wilayah Umno, walaupun diakui kawasan Semporna dan Silam akan dikuasai parti itu.

Manakala di Semenanjung, dugaan bahawa parti PPBM pimpinan Tun Dr Mahathir akan menang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen daripada 52 kawasan yang ditandingi, melampuai jangkaan apabila parti itu menang 13. Manakala Amanah melepasi jangkaan, kerana ramai memperikirakan parti itu paling-paling akan menang 2-3 kerusi, namun keputusan PRU-14, parti itu menang 11.

Bagi parti PKR dan DAP pula, memang daripada sangkaan awal, dua parti itu akan menang tidak kurang 80 kerusi, dan terbukti, memang benar, apabila PKR menang 47 dan DAP 42.

Di Sarawak, melihat kepada PRN ke-11, parti kerajaan yang diterajui PBB cukup yakin akan menang 25 kerusi parlimen daripada 31, namun akhirnya hanya menang 19, manakala di Sabah, daripada 25 kawasan yang dipertandingkan Bn Sabah hanya menang 14 daripada asal 22.

PRU-14 sudah berlalu. Senario politik berubah. Berdepan PRU-15 berbeza. Kecenderungan pengundi pula juga berbeza. 

Pada PRU-15, dijangka pengundi kaum cina masih bersama DAP, ertinya parti itu akan menjamin kerusi yang dimenangi pada PRU-14. 

Bagi PKR dan PPBM, akan terletak kepada pengagihan kerusi antara parti itu. Jika PPBM kekal dengan 52 kerusi ditandingi di semenanjung pada PRU-14, kemudiannya ditambah dengan kerusi di Sarawak dan Sabah, ada kemungkinan parti itu akan menang kerusi terbanyak, dan seterusnya menjadi parti tunggak.

Senario politik negara kini, setiap PRU akan terbuka ruang dan peluang politik. Ruang dan peluang politik tidak lagi sama sebelum ini, selepas kejatuhan Kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Umno.

No comments:

Blog Archive