Thursday, November 01, 2018

SEKITAR KEMELUT DUA KETUA MENTERI SABAH

25 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu menetapkan 7 November sebagai tarikh untuk memberikan keputusan berhubung saman pemula an Sri Musa Aman yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri.

Hakim Datuk Yew Jen Kie menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah dari kedua-dua parti yang mengambil masa empat jam.

S.Vanugopal Peguam kanan yang juga pakar perlembagaan yang mewakili Musa berhujah bahawa anak guamnya sebagai pemimpin parti politik BN-Sabah, tidak pernah kehilangan sokongan majoriti Adun pada bila-bila masa, kerana makna perkataan “majoriti” di bawah Artikel 6(7) perlembagaan Sabah tidak bermakna sokongan sekurang-kurangnya 31 daripada keseluruhan anggota Dewan itu yang berjumlah 60 orang.

Beliau berkata pada Pilihan Raya yang lepas, BN-Sabah memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala Parti Warisan Sabah memenangi 21, dan oleh itu secara teknikalnya anak guamnya memenangi majoriti atau kebanyakan daripada kerusi dalam Dewan, dan selaras dengan Artikel 6(7), pemimpin parti politik yang berdaftar berhak untuk dilantik sebagai Ketua menteri.

“Mengikut Perlembagaan, itu sahaja yang diperlukan oleh Tan Sri Musa untuk dilantik sebagai Ketua Menteri. Walaupun selepas enam Adun berikrar menyokong defendan kedua (Mohd Shafie) pemimpin Parti Warisan Sabah, Tan Sri Musa masih terus mendapat sokongan baki 23 Adun BN-Sabah, yakni jumlah kerusi yang masih lebih banyak berbanding Parti Warisan Sabah yang hanya mempunyai 21 kerusi,” katanya.

Beliau berhujah bahawa apa yang dimaksudkan Artikel 6(7) sebagai sebuah parti politik, ialah parti politik yang berdaftar dan bukan gabungan parti-parti politik.

Katanya BN-Sabah adalah sebuah parti politik berdaftar manakala Parti Warisan Sabah, DAP, PKR dan UPKO adalah gabungan parti politik semata-mata.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri (Tun Juhar Mahiruddin yang merupakan defendan pertama) membuat kesilapan besar apabila menyimpulkan bahawa gabungan Parti Warisan Sabah bersama DAP, PKR, UPKO, menjadi sebuah parti politik.

Sementara itu Peguam Negeri Zaleha Rose Pandin yang mewakili Juhar pula berhujah bahawa berdasarkan Artikel 7(1) Perlembagaan Sabah, Musa perlu mengosongkan jawatannya selepas beliau tidak lagi menguasai sokongan majoriti.

“Adalah mandatori bagi plantif (Musa) untuk melepaskan jawatannya selepas beliau kehilangan majoriti, tapi beliau enggan,” katanya dan menambah tidak perlu bagi defendan pertama mengenepikan plantif daripada jawatannya, tapi berdasarkan Artikel 7(1), perletakan jawatan sebagai Ketua Menteri adalah automatik.

Dengan merujuk kepada kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau berkata kes berkenaan mempunyai persamaan dengan kes ini, dan plantif perlu secara mandatori melepaskan jawatan kabinet selaras dengan arahan Artikel 7(1) dan perlu mengosongkan pejabatnya.

Peguam Datuk Douglas Lind yang mewakili Mohd Shafie pula berhujah bahawa jelas plantif telah hilang sokongan majoriti selepas enam Adun dalam pernyataan statutori menyatakan sokongan mereka kepada defendan kedua (Mohd Shafie).

“Tidak ada asas perundangan bagi plantif menuntut bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah, memandangkan mandatori baginya untuk meletak jawatan dalam kabinet berdasarkan kepada Artikel 7(1),” katanya.

Douglas berhujah bahawa anak guamnya memperoleh sokongan majoriti dan defendan pertama tahu bahawa plantif kehilangan sokongan itu, oleh yang demikian dia berhak untuk melaksanakan budi bicara prerogatifnya bagi melantik orang yang pada pandangannya memiliki sokongan majoriti.

Musa pada 17 Mei lepas menfail satu writ saman, tapi kemudian menariknya kembali, namun pada Jun lepas, beliau menfail saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan, antaranya daripada mahkamah bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah dilantik pada 10 Mei lepas oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam saman pemula itu Musa menamakan Juhar sebagai defendan pertama dan penggantinya Mohd Shafie sebagai defendan kedua, dan mahukan pengisytiharan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah pada 12 Mei adalah tidak sah.

Beliau memohon bagi mendapatkan pengisytiharan yang mengatakan beliau kekal dan sah sebagai Ketua Menteri, dan pengisytiharan bahawa tidak ada penarikan balik atau pembatalan dalam pelantikannya.

Musa juga memohon untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa defendan pertama (Juhar) bertindak tidak mengikut perlembagaan dalam melantik Mohd Shafie ke kabinet negeri dan pengisytiharan bahawa semua yang dilakukan oleh Shafie dan/atau yang dikatakan kabinetnya, selepas ‘apa yang dikatakan sebagai pelantikannya sebagai Ketua Menteri’, adalah terbatal, tidak sah serta tiada kesan dan ‘merosakkan’ dari kedua-dua defendan.

No comments:

Blog Archive