Tuesday, October 23, 2018

SELAGI TUN DR MASIH HIDUP- PM-8 MASIH TERBUKA

Tun Dr Mahathir tidak dapat memastikan bahawa Datuk Seri Anwar bakal menjadi Perdana Menteri ke-8, kerana ianya tertakluk kepada kemahuan rakyat, demikian menurut beliau semasa diwawancara oleh Tan Sri Johan Jaafar pada Isnin, 22 Oktober, 2018. Namun, menurut PM-7 itu, adalah janji beliau, apabila meletakkan jawatan, maka penggantinya adalah Datuk Seri Anwar. 

Tersirat, bahawa Datuk Seri Anwar sebelum dilantik ke jawatan Pem-8, maka tertakluk kepada sokongan rakyat, sudah tentunya menerusi wakil-wakil rakyat. Jika wakil-wakil rakyat, dalam hal ini yang mewakili PH dan Warisan Sabah menyokong calon lain, maka Tun Dr Mahathir tiada kuasa menghalangnya. 

Menerusi wawancara itu, tergambar sungguh bagai mana pendirian Tun Dr Mahathir berubah mengikut rentak parti-parti dalam PH, termasuk mengikuti aliran sosialisme dan liberalisme. Dengan kata lain, jika dalam PH ada fahaman komunisme, maka beliau juga perlu menyesuaikan diri. 

Tun Dr Mahathir menafikan, bahawa kerajaan PH dikuasai DAP, sambil mengatakan dalam PH tiada parti yang dominan, melainkan berkedudukan sama. Sebabnya, jika satu parti menarik diri, maka tumbang lah kerajaan PH. 

Menerusi PRU-14, kedudukan kerusi bagi parti-parti dalam PH adalah PKR-47, DAP-42, PPBM-14, Amanah- 11 sementara Warisan-8, menjadikan jumlah keseluruhan 121 kerusi Parlimen, hanya 9 kerusi majoriti mudah, 112 daripada 222 kerusi parlimen keseluruhan. 

Sekali lagi, Tun Dr Mahathir membidas Umno, kononnya parti itu dipenuhi dengan pemimpin penyangak dan pencuri, dan seterusnya ahli-ahli parti perlu keluar daripada Umno dan menyertai PPBM. 

Terlihat sungguh, bagai mana PM-7 itu cuba menidakkan Anwar menjadi Perdana Menteri, kerana jika separuh sahaja ahli parlimen Umno menyertai PPBM, dan berkerjasama dengan PGS Sarawak dan Warisan, maka akan menjadi parti dominan dalam PH. 

Nampak gayanya, Tun Dr Mahathir mahu mengikuti jejak Tun Razak pada tahun 1969, apabila berjaya menyatukan semua parti dan seterusnya membentuk barisan Nasional pada tahun 1974. 

Tun Dr Mahathir mahu menterjemahkan PPBM kepada Umno-2, manakala DAP, menggantikan MCA, dan Hindraf menggantikan kedudukan MIC. Jika ini berlaku, kedudukan PKR akan melemah, manakala Umno akan hilang jejak, dan akhirnya kerajaan akan dipimpin oleh PH bersama PGS dan Warisan untuk jangka masa yang panjang. 

Bagi parti Umno, hakikat perlu diterima, bagai manapun semangat juang, jika ketiadaan pemimpin dan sumber kewangan maka parti lama kelamaan terpaksa menyerah. Umno tidak dapat mencontohi PAS, kerana ahli-ahli parti itu sudah ditarbiah sedemikian rupa, samada sebahagian daripada kerajaan mahupun tidak, bukan penghalang kepada perjuangan mereka. 

Akan terlihat sejauh mana kesetiaan para ahli dan pemimpin Umno, kerana fakta menunjukkan meskipun baru 6 bulan kehilangan kuasa, bukan ahli yang berpusu-pusu keluar, akan tetapi pemimpin dan wakil rakyat.

No comments:

Blog Archive