Wednesday, October 24, 2018

MODUS OPERANDI GABUNGAN BERSATU SABAH (GBS)

GBS hanya merupakan gabungan parti-parti, dan modus operandinya tidak seperti sebuah parti,kerana tidak mempunyai perlembagaan.

Apa yang ada, adalah struktur organisasi. Masing-masing parti dengan perlembagaannya sendiri, dan tidak terikat dengan perlembagaan parti-parti dalam gabungan. 

Pendek kata, gabungan ini untuk sementara adalah gabungan para wakil rakyat masing-masing parti termasuk juga wakil rakyat tidak berparti. 

Gabungan seumpama ini ada baik dan buruknya. Baiknya, tiada parti atau pihak-pihak yang dominan, buruknya, boleh sahaja parti-parti itu meninggalkan gabungan dan memilih gabungan lain. 

Untuk sementara, GBS hanya merupakan tempat berkumpulnya para wakil rakyat, maka belum boleh dilihat kelemahannya. Namun, jika berdepan pilihan raya, masalah yang dihadapi adalah dari segi pembahagian kerusi. 

PBS, PBRS, STAR, tiga parti berasaskan kaum KDM. Dalam soal pembahagian kerusi, sudah tentunya berebut 6 kerusi yang diberikan kepada UPKO semasa era Barisan Nasional. Parti mana yang diberikan hak bertanding pada kerusi-kerusi itu? 

Untuk sementara parti yang berasaskan bumiputera islam adalah Umno Sabah. Jika parti Datuk Seri Anifah Aman bakal didaftarkan, dan menyertai gabungan, maka akan bertembung dengan Umno dalam soal pembahagian kerusi. Jika ada parti cina yang bakal didaftarkan dan menajdi anggota gabungan, maka hanya parti itu dan PBS sahaja berunding, iaitu parti mana yang perlu bertanding bagi kerusi-kerusi MCA, Gerakan dan LDP. 

Melihat kepada kemusykilan di atas penulis berpandangan, gabungan ini perlu ada seorang ketua yang bersifat sebagai “figure head” jika gabungan ini digunakan sebagai medium dalam pilihan raya. 

Satu persoalan lagi, jika gabungan itu menang pilihan raya, siapa yang bakal menjadi Ketua menteri? Apa kah kaedah yang digunakan adalah parti mana yang mempunyai kerusi terbanyak menjadi Ketua Menteri? Atau berasaskan konsensus, seperti mana berlaku dalam Pakatan Harapan, di mana Tun Dr Mahathir dilantik ke jawatan Perdana Menteri meskipun parti beliau, parti minoriti. 

Perkara-perkara ini yang perlu diutamakan dahulu, supaya rakyat tidak keliru. Jika bercelaru, maka akan bercelaru lah selamanya. Dan kesudahannya, semuanya hanya akan jadi angan-angan, kerana rakyat tidak akan menyokong. 

Memang untuk sementara, ekoran keputusan PRU-14 dan saman Tan Sri Musa Aman terhadap TYT dan Datuk Shafie Apdal, gabungan telah sepakat, bahawa Musa adalah Ketua Menteri, jika demikian- apa seterusnya juga demikian? 

GBS terpaksa dutubuhkan untuk menggantikan Barisan Nasional, ekoran parti-parti komponen meninggalkan gabungan 13 parti itu termasuk parti-parti daripada Sarawak. Dengan tertubuhnya gabungan pada hari ini 24 Oktober, 2018, maka berakhir lah kewujudan PARTI BARISAN NASIONAL di Sabah. TIADA LAGI TATAP BN, TIADA LAGI LAMBANG DACING, TIADA LAGI WARNA BIRU, dengan itu TANGKI BIRU PUN LENYAP!!!!

No comments:

Blog Archive