PARTI BERSATU SABAH (PBS) pernah menggubal undang-undang anti lompat parti pada 1986 yang melarang mana-mana wakil rakyat daripada bertukar parti atau wajib mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
Tetapi undang-undang yang dibuat oleh parti itu dicabar di mahkamah. Dan akhirnya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa undang-undang itu melanggar Perlembagaan. Kesannya, amalan lompat parti kembali muncul dalam politik Sabah dengan PBS sendiri menjadi mangsa lompat parti.
Ini apabila kerajaan yang dipimpinnya jatuh tidak lama selepas pilihan raya negeri 1994. Tindakan keluar beramai-ramai wakil rakyatnya yang kemudian menubuhkan parti-parti baharu dan menyertai Barisan Nasional (BN) akhirnya menyaksikan BN mengambil alih kerajaan PBS.
PBS menjadi mangsa kali ke-2 pada 12 Mei lalu, apabila sekali lagi menjadi mangsa lompat parti, sehinggakan menimbulkan kemelut dua Ketua Menteri Sabah. Kemelut itu akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 26 Oktober ini.
Lompat parti kepada sesetengah pihak dianggap suatu pencabulan hak asasi manusia. Pada masa sama, wakil rakyat yang suka lompat parti tidak sepatutnya mengkhianati amanah pengundi yang telah memilih mereka.
Hakikatnya, lompat parti bererti berpaling tadah - mulanya menyokong sesebuah parti politik dan kemudian sokongan itu bertukar arah. Lebih parah lagi, menentang parti asal.
Perkembangan itu sememangnya membimbangkan kerana sekiranya ramai ahli parti bertukar arah, maka dibimbangi jumlah majoriti mengecil atau langsung hilang.
Akibatnya, sesebuah parti politik itu akan hilang jumlah majoriti, yang seterusnya mengakibatkan kehilangan mandat atau kepercayaan di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri.
Tindakan lompat parti setelah memenangi pilihan raya bukanlah sesuatu yang sihat dan patut disokong. Seseorang yang telah dipilih oleh rakyat bukan semuanya atas kapasiti individu tersebut, tetapi sebahagian besar memenangi kerusi tersebut atas kepercayaan atau mandat rakyat terhadap parti politik yang diwakilinya.
Tiket yang diberikan oleh rakyat untuk mewakili mereka tidak harus dipindah milik secara sewenang-wenangnya tanpa persetujuan rakyat.
Meskipun Parlimen tidak dapat menghalang perbuatan lompat parti, ia tetap suatu pengkhianatan atau pembelotan terhadap rakyat. Bahkan, suatu perbuatan tidak bermaruah.
No comments:
Post a Comment