Rakyat masa kini bukan sahaja celik maklumat, akan tetapi celik berkaitan perkembangan setiap pemimpin.
Masa lima atau 10 tahun, bukanlah lama sangat. Pemimpin yang menjadi wakil rakyat atau ada jawatan dalam kerajaan atau parti, dapat dinilai dengan mudah oleh rakyat, 5/10 tahun lalu berbanding masa kini.
Apabila melihat perbandingan itu, rakyat tahu, pemimpin mana yang membela rakyat, dan pemimpin mana mengutamakan kroni atau diri sendiri.
Jika banyak perubahan daripada segi kemajuan dan pembangunan di mana seseorang pemimpin itu dipilih, maka menunjukkan bahawa pemimpin itu mengutamakan rakyat, namun jika tiada perubahan, melainkan yang berubah hanya keadaan pemimpin itu berserta orang-orang disekeliling, maka menunjukkan bahawa pemimpin itu bukan membela rakyat akan tetapi membela diri sendiri dan kroni.
Berasaskan kebolehan rakyat menilai, maka ada calon parti yang memerintah boleh kalah dalam pilihan raya, jikapun menang, akan tetapi kemenangan amat tipis, malah ada yang menang kerana pertembungan berbagai parti.
Pada PRU-14, rakyat Sabah diyakini tidak akan mengundi 100% berasaskan parti, akan tetapi banyak dipengaruhi oleh calon. Jika calon yang dipilih itu mempunyai rekod tidak membela rakyat, maka besar kemungkinan akan ditolak rakyat, meskipun mewakili parti yang sedang memerintah.
Pucuk pimpinan, kena berhati-hati dalam mengemukakan calon-calon pada PRU-14 akan datang, kerana tidak semestinya calon yang mempunyai kedudukan dalam kerajaan menjadi pilihan rakyat.
No comments:
Post a Comment