Wednesday, March 05, 2014

Dompok Letak Jawatan Presiden UPKO Berkuatkuasa 21 Mac

Tan Sri Bernard Dompok hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berkuatkuasa 21 Mac depan selepas menerajui parti itu selama 20 tahun.

Dompok, 63, berkata sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri dan menyerahkan pucuk pimpinan parti kepada kepimpinan baru yang boleh menyuntik idea-idea baru untuk meneruskan perjuangan parti bagi menghadapi landskap politik negara yang sudah berubah.

"Saya telah memikirkan secara mendalam dan bermuhasabah diri sebelum mengambil keputusan mengundurkan diri. Ia bukan keputusan yang mudah untuk saya ambil berikutan anggota parti mahu saya terus memegangnya.

"Tetapi saya yakin sudah tiba masanya untuk saya menyerahkan jawatan ini kepada barisan kepimpinan baru," katanya ketika mengumumkan keputusannya itu di Nabalu Puru Lodge, Putaton, Penampang di Kota Kinabalu hari ini.

Dengan keputusan berkenaan, katanya Timbalan Presiden Upko Datuk Wilfred Madius Tangau akan memangku jawatan presiden parti selepas peletakan jawatannya berkuatkuasa seperti termaktub dalam perlembagaan parti.

Katanya sebelum ini beliau telah banyak kali menyuarakan pandangan kepada anggota parti bahawa seseorang presiden parti tidak boleh terlalu lama memegang jawatan itu dan melebihi masa sepatutnya kerana ia boleh merenjatkan perkembangan parti.

No comments:

Blog Archive