Monday, July 01, 2013

Pemilihan Umno: Nama KU LI muncul lagi

KETIKA Umno dikatakan mahu menjadikan partinya lebih demokratik dalam menentukan pucuk pimpinan parti, nama yang tidak asing lagi meniti di bibir pemerhati ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Ku Li digambarkan sebagai individu yang begitu mendambakan kedudukan Datuk Seri Najib Tuan Razak dalam Umno sejak sekian lama.

Maka tidak hairanlah, mungkin dek kerana sejarah lampau itu, nama Ku Li kembali menjadi sebutan tatkala pemilihan Umno semakin hampir.

Ku Li pernah bertanding jawatan presiden Umno tahun 1987, di mana dalam pertandingan itu beliau kalah 40 undi kepada Tun Dr Mahathir sebagai Presiden penyandang. Juga akibat pertandingan itu, Umno mengalami pengharaman, dan tertubuhnya Parti Semangat 46, pimpinan Ku Li.

Pada PRU-1990, Ku Li dengan S-46nya bergabung dengan PAS dan DAP serta PBS bagi menentang BN, namun gabungan itu, belum mampu menumbangkan kerajaan BN.

Selepas itu, Ku Li menyertai semula Umno, dan semenjak itu, setiap ada pemilihan Umno namanya sering muncul. Kemunculan namanya, bukan sahaja spekulasi, tetapi kesediaannya bertanding jawatan Presiden, namun kerana sistem pemilihan pada masa itu, memerlukan kuota, maka keingin beliau bertanding tidak pernah kesampaian.

Pada pemilihan kali ini, mungkin hasrat Ku Li bertanding jawatan Presiden akan tercapai, kerana sistem pemilihan telahpun berubah, dengan pemansuhan sistem kuota.

Pemilihan Umno yang akan berlangsung tahun ini menyaksikan beberapa perubahan yang memberi kebaikan kepada parti itu dan menjadikannya lebih demokratik dan terbuka.

Beberapa pindaan besar telah dilakukan dalam Perlembagaan Umno pada 2009 sejak jawatan presiden parti disandang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemilihan parti yang dahulunya tertakluk kepada sistem kuota telah dipinda, di mana ia membolehkan jawatan presiden serta timbalan presiden parti dicabar oleh mana-mana ahli.

Malahan sistem kuota juga tidak lagi terpakai dalam pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Kenyataan sama turut diperkukuhkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan.

Menurutnya, parti itu tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan diri bertanding termasuk bagi merebut jawatan nombor satu parti.

"Semua jawatan boleh bertanding. Semua jawatan dari peringkat presiden hinggalah ke jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

"Hanya daftarkan diri... semua boleh bertanding," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, baru-baru ini.

"Parti Umno sangat kuat sekarang, jadi tiada sebab kenapa pemilihan Umno tidak diwujudkan pertandingan (jawatan tertinggi)," katanya.

Apa kah Ku Li akan memenuhi hasratnya yang sejak sekian lama terpendam? Kalau lah beliau bersedia bertanding, apa kah hanya memenuhi hasratnya? 

Memenangi sesuatu pertandingan, sudah tentunya memerlukan sokongan yang kuat daripada akar umbi. Apa kah Ku li mempunyai kekuatan itu? 

Pada pemilihan kali ini, sekurang-kurangnya 150,000 perwakilan akan mengundi yang memilih jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan AMT.

Jikapun Ku Li bersedia, menurut pnenulis, hanya meraikan pesta demokrasi dalam parti.

No comments:

Blog Archive