Spekulasi bertiup kencang bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calonnya bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) pada Rabu, hari yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuaratnya untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Pagi Rabu, pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan perjumpaan sekali lagi dengan para wakil parti komponen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk memperkemas jentera pilihan raya gabungan itu dan mengadakan sidang akhbar selepas itu.
Oleh kerana Najib, yang menyelaras jentera kempen BN untuk julung kalinya bagi menghadapi PRU selepas mengambil alih jawatan perdana menteri empat tahun lepas, membayangkan beliau akan mengumumkan nama calon parti gabungan itu lebih awal dan akan ada kejutan.
Pengumuman yang amat ditunggu-tunggu itu, jika benar berlaku, dibuat genap seminggu selepas pembubaran Dewan Rakyat dan ketika melancarkan manifesto B NSabtu lepas, Najib berjanji akan meneruskan usahanya melaksanakan transformasi terhadap negara dan kehidupan semua rakyat Malaysia.
Beliau mengulangi mesej ini di Ipoh ketika melakukan lawatan sehari ke sana dan menikmati jamuan tengah hari bersama-sama anggota pertubuhan bukan kerajaan Perak di dewan Tokong Tow Boh Keong, selepas menyempurnakan upacara pecah tanah pembinaan kilang pengeluaran lokomotif berharga RM400 juta milik CSR Group dari China. "Banyak lagi kebaikan akan dapat dinikmati walaupun sehingga kini, banyak yang telah kami laksanakan. Dengan mandat yang kukuh, kami boleh lakukan lebih banyak lagi pada masa akan datang. Ini janji saya kepada anda semua.
"Saya bertanya kepada diri sendiri, apa lagi yang orang Cina mahu?. Mereka mahu keselamatan; mereka mahu keharmonian. Apa lagi yang mereka mahu? Mereka mahu kerajaan yang adil dan saksama," katanya pada majlis makan tengah hari itu.
Najib berkata semua itu akan dipenuhi sekiranya BN diberi mandat lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berkata janji BN untuk menarik pelaburan RM1.3 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang, seperti yang terkandung dalam manifestonya, adalah sesuatu yang realistik.
Ketua Wanita Umno dan bekas menteri persekutuan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata beliau tidak akan bertanding pada PRU kali ini, manakala Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, yang juga presiden parti Bersaatu Rakyat Sarawak (SUPP), mengesahkan beliau akan memberi laluan kepada muka baharu setelah berkhidmat sebagai anggota parlimen Miri selama enam penggal.
Sementara itu, ketegangan tercetus di Johor antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berhubung kerusi Johor Jaya yang mempunyai majoriti kaum Cina. Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman di Tangkak malam tadi bahawa ketua parti itu di Johor Datuk Chua Jui Meng, yang tidak berpeluang bertanding di kerusi parlimen Gelang Patah, akan bertanding di Segamat, kerusi yang ditandingi DAP dan menerima kekalahan pada PRU 2008.
Penasihat DAP Lim Kit Siang, yang akan bertanding di Gelang Patah, hari ini berkata percubaannya di kawasan itu adalah berdasarkan keputusan sendiri dan bukan sebagai pertukaran bagi mana-mana kerusi parlimen antara dua parti berkenaan dan keputusan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Segamat, adalah diiringi syarat.
Keputusan DAP untuk melepaskan Segamat dibuat untuk menyelesaikan "semua pertikaian antara DAP dan PKR berkaitan peruntukan kerusi di Johor", dengan DAP bertanding di tujuh kerusi parlimen dan 15 kerusi negeri, termasuk Johor Jaya, kata Lim.
"Dengan pengumuman Anwar itu, bolehlah dikatakan bahawa syarat penyelesaian berhubung persetujuan DAP membenarkan PKR bertanding di kerusi parlimen Segamat mendapat persetujuan kepimpinan PKR," kata Lim dalam laman blognya.
Sebelum ini, Lim menamakan timbalan setiausaha publisiti Dapsy Liow Cai Tun sebagai calon bagi kerusi Johor Jaya, manakala PKR Johor mengumumkan ketua biro undang-undangnya Jimmy Puah sebagai calon bagi kerusi negeri itu, yang ditandingi calon Parti rakyat Malaysia pada 2008.DAP dan PKR juga bertelagah tentang satu lagi kerusi negeri di Johor iaitu kerusi Pengkalan Rinting.
Seperti DAP dan PKR, PAS juga mengumumkan nama calonnya secara berperingkat dan hari ini, parti itu mengumumkan lapan calonnya untuk kerusi parlimen, termasuk tiga muka baharu seperti yang dijangka.
Mereka ialah bekas pengarah jabatan siasatan jenayah persekutuan Datuk Fauzi Shaari bagi Larut, Perak, arkitek Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad bagi Kuala Terengganu dan penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin bagi Jempol, Negeri Sembilan.
Timbalan presidennya Mohamed Sabu, yang kalah di kerusi Kuala Terengganu pada PRU 2008, kali ini akan bertanding di Pendang, Kedah, manakala naib presiden parti itu Datuk Husam Musa dan ketua pemudanya Salahuddin Ayub akan dipindahkan bertanding di luar Kelantan iaitu masing-masing di Putrajaya dan Pulai, Johor.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan kerusi Marang, Terengganu, manakala Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 82, mursyidul am parti itu, akan bertanding untuk kali kelima di Cempaka, Kelantan.
Di Kedah, anggota pembangkang yang tidak berpuas hati kerana tidak dipilih menjadi calon, mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas.
Bekas ketua pemuda PKR negeri Zamil Ibrahim berkata beliau telah mengambil 10 borang pencalonan dan kumpulan itu, yang dianggotai individu daripada PKR, PAS dan DAP, akan membentuk satu pakatan untuk bertanding dengan menggunakan satu logo.-
No comments:
Post a Comment