TEMPOH lima tahun mandat yang diberikan rakyat kepada kerajaan Bn akan berakhir dengan sendirinya pada 28 April, 2013.
Pada PRU lalu, rakyat memberikan mandat kepada Bn untuk memerintah negara ini dengan jumlah 140 kerusi parlimen daripada 222 yang dipertandingkan.
Di sabah pula, rakyat memberikan mandat kepada Bn Sabah dengan jumlah kerusi 24 parlimen daripada 25, dan 59 kerusi dun daripada 60 dun yang tersedia.
Pada PRU lalu, parti-parti komponen hampir semuanya menang 100 peratus, kecuali PBS yang kalah satu parlimen dan satu kerusi dun.
Melihat kepada kemenangan calon-calon bn pada PRU-PRU lalu, terlihat kawasan-kawasan yang merupakan kawasan tradisi Bn terus menjadi kawasan simpanan tetap.
Pada PRU kali ini juga, diperkirakan kawasan-kawasan tradisi bn akan terus dimenangi walaupun kekuatan pembangkang pada kali ini, dikatakan ada peningkatan.
Kawasan Kota Belud misalnya, hanya Dun Kedamian dikatakan agak rapuh, jika mempertahankan wakil rakyat yang ada sekarang. Bagi kawasan itu, bukan Bn yang kurang mantap, akan tetapi telah timbul kebosanan terhadap wakil rakyat yang ada.
Pencapaian wakil rakyat daripada PBS itu, dikatakan kurang menyerlah, kerana kurang mampu mengadakan berbagai pembangunan yang diperlukan bagi kawasan itu, walaupun beberapa penggal menjadi wakil rakyat.
Pada PRU 2008 misalnya calon Bn yang diwakili Helbert Timbon Lagadan daripada PBS hanya mendapat undi 5,382 berbanding undi pembangkang kalau digabungkan 4,638. Berasaskan kepada keputusan itu, kemenangan calon Bn itu hanya bermajoriti 744.
Melihat kepada kecenderungan perolehan undi Bn pada PRU lalu, Ketua Bahagian Umno Kota Belud yang juga merangkap Pengerusi Bn kawasan Kota Belud, memandang berat kecenderungan itu. Atas sebab itu, sejak hampir lima tahun, beliau begitu aktif di seluruh kawasan Kota Belud, meskipun beliau bukan wakil rakyat yang dipilih.
Bermula pada pengakhir tahun lepas sehingga kini, Datuk Dr Salleh boleh dikatakan rata-rata 5 hari seminggu berada di Kota Belud. Turun padang Speaker Dun Sabah itu, selain menghadiri berbagai acara termasuk acara rasmi, juga acara tidak rasmi termasuk aktiviti santai bersama pengundi.
Datuk Dr Salleh juga beruntung mempunyai wakil-wakil rakyat yang juga rajin turun padang, seperti Adun Tempasuk, MP Kota Belud dan Adun Ususkan, dan kadang-kadang Adun Kedamaianpun ikut serta.
Penulis tidak pelik, jika pada satu-satu majlis, akan turut dihadiri oleh semua wakil rakyat. Cara ini adalah menguntungkan rakyat, kerana mudah bagi mereka berhubung langsung dengan wakil-wakil rakyat yang berkaitan.
Kekompakan wakil-wakil rakyat Kota Belud cukup terserlah, demikian juga kerajinan dan komitmen mereka terhadap rakyat cukup tinggi, sehinggakan penulis cukup sedih, jika ada di antara mereka tidak dipertandingkan.
Sayang Kota Belud hanya ada tiga kawasan untuk calon-calon umno, kalaulah lima, maka semua pemimpin yang dekat dihati rakyat mempunyai tempat.
Sementara bakal-bakal calon Umno Kota Belud sudahpun sampai di tangan Perdana Menteri yang juga Presiden umno, namun tiada seorangpun yang mengetahui siapa-siapa yang bakal dipilih.
Meskipun demikian, para pemimpin Kota belud senantiasa meneruskan khidmat bakti mereka kepada rakyat, sehingga keputusan, siapa-siapa calon-calon yang dipilih.
Penulis difahamkan, bahawa siapapun bakal-bakal calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan, semua pemimpin Kota belud akan terus berkerjasama untuk memastikan kemenangan calon-calon Bn, terutama daripada Umno.
Kota Belud adalah tempat lahirnya Umno Sabah, atas sebab itu, pimpinan Umno tidak sanggup kehilangan sebarang kerusi daripada kawasan itu.
Apa yang unik bagi kawasan Kota Belud adalah persefahaman antara pemimpin dan penyokong masing-masing; sehinggakan boleh berlaku ganti berganti calon. Misalnya Dun Tempasuk, berganti-ganti antara Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Datuk Musbah Jamli. Demikian juga di Usukan berganti-ganti antara Datuk Dr Salleh Tun Said dan Datuk Japlin Haji Akim. Parlimen Kota Beludpun demikian, apabila Datuk Rahman Dahalan bertanding pada PRU-12 lalu.
Pendek kata, siapa-siapapun yang dicalonkan oleh pucuk pimpinan Bn bagi mempertahankan kerusi-kerusi di kawasan Kota belud, senantiasa disokong oleh rakyat dan penyokong tegar bn.
Pada PRU-13 akan datang, adalah diperkirakan akan berlaku pergantian calon-calon Bn daripada Umno di Kota Belud, berasaskan kepada kesepakatan dan maufakat antara pemimpin.
Siapa bakal-bakal calon itu, hanya Datuk Seri Najib yang mengetahuinya. Namun berasaskan mata kasar dan kecenderungan semasa, maka ada kemungkinan hanya berlaku bergantian diperingkat Dun Usukan. Atau ekstremnya di peringkat Parlimen, jika penyandang sekarang akan bertanding di Parlimen Sepanggar.
Berasaskan tipuan angin, ada kemungkinan Datuk Rahman Dahalan akan dicalonkan di Sepanggar, di mana kawasan itu disandang oleh Datuk Eric Majimbon daripada SAPP, yang merupakan wakil rakyat pembangkang selepas 17 September 2008 lalu.
Sementara Parlimen Kota Belud akan ditandingi oleh Speaker Dewan Rakyat sekarang Tan Sri Pandikar Haji Mulia. Kehadiran Tan Sri Pandikar dan Datuk Rahman di Parlimen, sangat diperlukan oleh Bn di Peringkat Parlimen, kerana kewibawaan masing-masing.
Datuk Dr Salleh terpaksa dipertandingkan diperingkat Dun, agar supaya beliau terus membantu Ketua Menteri Sabah memajukan Sabah, sesuai dengan Hala Tuju Sabah yang perlu direalisasikan pada tahun 2015. Selain itu, Salleh merupakan pemimpin yang diharapkan mengetuai jentera pilihanraya Sabah pada PRU-14.
No comments:
Post a Comment