Friday, May 18, 2012

Saya teruja dengan kerja-kerja Najib: Tunku Abdul Aziz

Bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pada Jumaat berkata kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak harus disokong dan patut diberi peluang dan masa bagi menjayakan program-program transformasi yang sedang dilaksanakannya sekarang.

Bekas pemimpin DAP yang bertindak keluar dari parti itu Isnin lepas kerana mempertahankan prinsipnya menentang demonstrasi Bersih 28 April, sekali lagi mengulangi pandangannya bahawa program transformasi yang dimulakan Perdana Menteri adalah baik untuk negara. "Apa yang Perdana Menteri buat sekarang ini adalah betul (is the right thing), jadi kita kena sokong (support) dia," katanya sambil menambah kata bahawa transformasi yang Najib usahakan adalah suatu proses untuk perubahan yang sudah tentu mengambil masa.

"Proses dari segi definisinya pun kena ambil masa sikit. Proses, bukan produk...produk boleh keluar terus, awak pergi Tesco (pasar raya) boleh beli (barang)," katanya sambil menegaskan ini termasuk usaha pentadbiran Najib untuk menambah baik proses demokrasi negara.

Diminta pandangannya sama ada kepimpinan Najib akan mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang kerana perubahan-perubahan yang sedang dibawanya, Tunku Aziz berkata: "Saya bukan penganalisa politik dan tidak mahu membuat spekulasi."

"Tapi proses, kena bagi masa, bagi peluang. Dulu kita dok (sering) jerit itu, ini, kerajaan tak buat itu dan ini, sekarang kerajaan dah dengar... (maka)itulah saya kata tak payahlah lagi lah nak buat protes...(sekarang) nak buat Bersih 4.0 (pula)...mahu apa lagi," katanya.

Beliau berkata tunjuk perasaan diadakan untuk menarik perhatian dan mempertingkatkan kesedaran orang ramai. "Awak fikir kerajaan tak nampak apa rakyat hendak? (dalam perhimpunan itu)98 peratus, yang protes nak tukar undang-undang itu ini, tapi yang dua peratus tu...mereka itu ada agenda lain...mereka buat kacau," katanya.

Beliau merujuk kepada tindakan parti-parti politik pembangkang tertentu yang dikatakan telah "merampas" tunjuk perasaan itu daripada badan bukan kerajaan yang menganjurnya dan dikatakan bertanggungjawab mencetuskan huru-hara pada hari itu sehingga beberapa anggota polis dan orang awam mengalami kecederaan.

Mantan Senator itu memberi pandangannya tentang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, sejak semasa beliau menjadi kolumnis untuk akhbar The New Sunday Times, beliau memang tidak bersetuju dengan cara politiknya dan pernah menulis artikel bertajuk "Stop the theatrics Anwar, let the Malaysian get on with their life".

Tulisan itu menyentuhkan tentang desas-desus kononnya kerajaan Persekutuan akan berubah ke tangan pembangkang pada 16 Sept 2008, dengan sebilangan besar anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan akan melompat keluar untuk menyertai pembangkang. "Saya lompat-lompat ni memang tak suka (not my game)...I benci orang yang berbuat begitu (despise people who do that)....kita masuk (bertanding) bawah lambang katakanlah Umno (under let say, Umno banner) kemudian lompat ke Anwar (pembangkang)...itu saya tidak setuju...Kalau awak nak lompat, letak jawatan...dan adakan pilihan raya kecil dan bertanding atas tiket Bebas...tengok boleh menang (atau tidak)," katanya. 
 
Tunku Abdul Aziz, tokoh korporat dan aktivis menentang rasuah yang pernah menjadi naib pengerusi Transparency International dan membantu menubuhkan Transparency International-Malaysia, menyertai DAP selepas pilihan raya Mac 2008, dan terus dilantik sebagai naib pengerusi parti itu dan sebagai senator pada Julai 2009.
 
Bagaimanapun tempoh perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara mewakili DAP tidak disambung oleh pucuk pimpinan parti itu selepas beliau membuat kenyataan terbuka menentang perhimpunan Bersih lepas yang disokong oleh partinya dan pakatan pembangkang. 
 
Beliau juga menyatakan bahawa keputusannya meninggalkan DAP adalah muktamad. "Saya dah kata, kalau saya dah keluar tu, saya keluar....habis cerita," katanya.
 
Ditanya sama ada beliau menerima apa-apa komen atau maklum balas daripada anggota DAP Melayu yang lain selepas membuat keputusan keluar parti berkenaan, beliau berkata tidak ada.
 
Mengenai komen bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang hairan kenapa beliau menyertai DAP, Tunku Abdul Aziz berkata beliau masuk DAP untuk memperjuangkan pencegahan rasuah dan mempromosikan integriti di dalam sektor kerajaan dan perniagaan.
 
Beliau juga pernah berkhidmat dalam sektor korporat dan menjadi penasihat Bank Negara sebelum menjadi aktivis. "Saya masa masuk DAP masa tu bukan bercadang pun nak jadi ahli politik...kalau saya nak jadi ahli politik, selepas kolej lagi saya dah masuk...kalau saya nak masuk Umno, masuk dari dulu-dulu lagi...tapi saya ingat saya ni lebih berguna jika saya tiada kena mengena dengan politik...non partisan," katanya.- BERNAMA

1 comment:

Unknown said...

Baguslah Tunku Aziz dah sedar..

HOT!! BUKTI RAJA NONG CHIK SALAHGUNA KUASA!! Baca di sini..

http://apakecoh2.blogspot.com/

Blog Archive