Monday, February 06, 2012

Kerajaan Selangor Teliti Isu Penahanan Bekas Kekasih Elizabeth Wong

Kerajaan negeri Selangor memandang serius berita penahanan seorang lelaki negara ini oleh pihak berkuasa Indonesia yang didakwa bekas teman lelaki kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Malah pihak kerajaan negeri juga akan meneliti tindakan susulan sekiranya lelaki berkenaan ada hubung kait dengan individu yang menjadi buruan polis berhubung penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth yang juga Exco kerajaan negeri Selangor itu di Internet pada 2009.

"Kerajaan negeri akan meneliti laporan yang dibangkitkan media dan akan membuat tindakan susulan jika ia memberi implikasi kepada kerajaan, pemimpin dan pentadbiran negeri Selangor.

"Perkara ini juga akan dibawa ke mesyuarat Biro Politik PKR pada Rabu ini dan sebarang keputusan akan diumumkan kepada rakyat dengan kadar segera," kata Sekretariat Akhbar, Pejabat Menteri Besar Selangor menerusi kenyataan di sini, Isnin.

Portal berita detiknews.com dari Indonesia menyiarkan laporan penahanan seorang lelaki warga Malaysia yang dikenali sebagai Azmin Heli oleh Jabatan Imigresen negara itu pada Jumaat lalu di Batam kerana memiliki pasport palsu.

Hasil pemeriksaan pihak imigresen, Azmin mengaku berasal dari Kuala Lumpur yang lahir pada 27 Mei 1975 dan beralamat di Jalan 4H, Ampang Selangor.

Berita itu juga menyebut bahawa Azmin yang memasuki Indonesia sejak 15 Februari 2009 menggunakan pasport Malaysia ini mengaku dibiayai keluarganya di negara ini dan PKR sepanjang berada di negara itu.

Pada 2009, negara digemparkan dengan kontroversi penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth oleh bekas teman lelakinya sendiri yang dikenali sebagai Hilmi Malek.

Bagaimanapun Hilmi gagal dikesan pihak berkuasa walaupun waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pihak polis.

Gambar separuh bogel itu dikata dirakamkan ketika Elizabeth sedang tidur di sofa kediamannya.

Bagaimanapun selepas terbongkar kontroversi itu, Hilmi dikatakan tidak pulang ke rumahnya di Ampang, dekat sini. mstar online

No comments:

Blog Archive