Pihak-pihak tertentu mendakwa pilihan raya di negara ini tidak bebas dan tidak adil. Mereka yang berkenaan telah menang dalam pertandingan merebut kerusi-kerusi baik di Dewan Rakyat atau pun di Dewan Undangan Negeri.
Kita tanya mereka apa yang tidak bebas dan peringkat mana yang mereka kata tidak adil?
Mereka mendakwa pilihan raya tidak adil berasaskan beberapa andaian dan persepsi dan sebagainya yang mereka tidak pernah dapat membuktikannya di mahkamah melalui petisyen-petisyen pilihan raya sama ada selepas pilihan raya umum (PRU) ataupun pilihan raya kecil (PRK).
Pengundi hantu
Mereka mendakwa ‘pengundi hantu’ yang telah mengundi dalam pilihan raya, tetapi mereka tidak pernah membuktikan siapa dan di mana pengundi hantu yang telah mengundi. Dalam semua petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum ini atas alasan pengundi hantu, semua petisyen telah ditolak kerana mereka gagal memberi bukti prima facie dakwaan tersebut.
Apa pun, dakyah ini digunakan dalam setiap pilihan raya. Malah golongan ini pernah menahan kenderaan yang membawa pengundi dari luar kawasan yang hendak pulang mengundi kerana menuduh mereka pengundi hantu. Mereka enggan menerima penjelasan SPR bahawa pengundi dari luar kawasan yang balik untuk mengundi pada hari mengundi di tempat dia disahkan mendaftar adalah pengundi sah yang berhak untuk mengundi di sisi undang-undang.
Daftar pemilih kotor
Mereka menuduh SPR tidak membersihkan Daftar Pemilih kerana mengandungi nama pemilih-pemilih yang telah meninggal dunia dan rekod-rekod berganda. SPR telah berkali-kali memberi penjelasan bahawa pembersihan Daftar Pemilih Induk (DPI) dilakukan berterusan di mana nama-nama pemilih yang meninggal dunia di keluarkan selepas pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Begitu juga nama-nama yang hilang kelayakan seperti dilucutkan taraf warganegara, yang disabit hukuman mahkamah dan sebagainya. Orang ramai perlu menerima hakikat bahawa tidak dapat dielakkan DPI ini akan berterusan mengandungi nama-nama pemilih yang telah meninggal dunia kerana nama-nama mereka hanya boleh dipotong selepas pengesahan oleh JPN.
Apabila berlaku kematian, jikalau waris pemilih tidak melaporkan ke JPN untuk sijil kematian, rekod JPN tidak dikemas kini. SPR membuat semakan terus dengan rekod JPN melalui sistem ALIS (Agency Link-Up System). Jika rekod di JPN tidak menunjukkan pemilih meninggal dunia namanya tidak akan dipotong.
Bagi memastikan pemotongan nama pemilih atas sebab kematian tidak disalah guna oleh sesiapa bertanggungjawab mengemas kini Daftar Pemilih, SPR perlu menetapkan dasar supaya pemotongan nama pemilih yang meninggal dunia hanya boleh dilakukan selepas pengesahan oleh JPN.
Walaupun kematian berlaku sepanjang masa, tetapi nama-nama mereka yang meninggal dunia tidak boleh dipotong sewenang-wenang daripada Daftar Pemilih tanpa pengesahan JPN. Faktor ini yang menyebabkan nama-nama pemilih yang telah meninggal dunia akan berterusan kekal dalam Daftar Pemilih.
Tempoh kempen
Mereka mendakwa pilihan raya tidak adil kerana tempoh kempen yang pendek. Justeru, Bersih 2.0 menuntut tempoh kempen minimum 21 hari diberikan dalam pilihan raya. Rakyat perlu sedar bahawa pilihan raya di negara ini tidak memerlukan tempoh kempen yang panjang kerana Malaysia tidak seperti beberapa negara lain yang mereka gunakan sebagai contoh.
Malaysia hanya mempunyai 12 juta pengundi jika dibandingkan dengan Indonesia (140 juta pengundi meliputi beribu buah pulau dengan tahap komunikasi yang masih lemah); Filipina (40 juta pengundi dengan kawasan penduduk di lebih 5,000 buah pulau); Thailand (40 juta pengundi) dan India (750 juta pengundi).
Malaysia juga mempunyai infrastruktur komunikasi dan ICT yang baik dan canggih. Tempoh kempen yang panjang akan memerlukan bajet kempen yang besar yang merugikan semua pihak. Tempoh kempen panjang juga membebankan pihak polis yang perlu menjaga ketenteraman awam sepanjang tempoh parti-parti politik berkempen.
Selain itu, parti-parti politik di negara ini sebenarnya telah berkempen berterusan sepanjang tahun melalui ceramah dan cara-cara lain yang mereka lakukan di seluruh negara.
Undi pos
Mereka mendakwa pengundian pos tidak adil sedangkan mereka sedar bahawa dalam mana-mana pilihan raya baik PRU atau PRK, undi tentera atau undi polis juga berpihak kepada mereka.
Jika undi pos memihak kepada parti kerajaan maka itu pilihan pengundi. Mereka membuat andaian dan persepsi yang tidak dapat dibuktikan di mahkamah.
Ada pihak yang menuntut supaya sistem pengundian pos dimansuhkan, walhal mereka sedar bahawa pengundian pos adalah perlu kerana para anggota tentera perlu berada di dalam kem setiap masa kerana tidak sesuai jika mereka keluar dari kem untuk mengundi bersama pengundi-pengundi awam pada hari mengundi.
Begitu juga anggota polis yang perlu bertugas pada hari mengundi untuk menjaga keselamatan perjalanan pilihan raya, mengurus lalu lintas dan ketenteraman awam.
Media
Mereka juga mendakwa pilihan raya tidak adil kerana media dikatakan tidak bebas dan mereka tidak mendapat akses kepada media awam. Mereka perlu sedar bahawa semua pihak bebas berkempen sepanjang masa termasuk perbuatan menyebar fitnah dan tohmahan melalui akhbar-akhbar parti yang tersebar luas di sana sini.
Selain itu aktiviti berkempen dan perbuatan memanipulasikan isu yang berterusan dilakukan oleh portal media baru. Untuk makluman mereka, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan media supaya melakukan itu dan ini kerana media tidak di bawah kuasa SPR.
Hak pemilik media untuk memberi ruang atau liputan yang lebih kepada mana-mana pihak yang mereka sokong perlu dihormati. Bagi media awam, ia tertakluk kepada dasar di bawah kementerian kerajaan yang memerintah. Kementerian berkenaan yang menetapkan dasar pengurusan media awam.
Walaupun terdapat dakwaan mengatakan bahawa media arus perdana dilihat berpihak kepada parti kerajaan iaitu Barisan Nasional, parti-parti pembangkang masih mendapat ruang kebebasan media apabila Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan permit yang diperuntukkan di bawah Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, untuk mereka menghebahkan manifesto dan maklumat mereka menerusi akhbar parti masing-masing.
Di samping itu, parti pembangkang juga telah mendapat keuntungan daripada kemunculan arus media baru yang secara umumnya banyak mendukung ideologi dan pemikiran berpihak kepada mereka. Walau bagaimanapun, isu akses kepada media awam atau swasta dijangka isu yang akan berterusan dipersoalkan oleh parti-parti politik dan aktivis politik yang menentang parti kerajaan di negara ini.
No comments:
Post a Comment