Saturday, August 20, 2011

PAS dakwa minat pada PSC terkubur kerana Najib

PAS mungkin tidak menyertai jawatankuasa khas parlimen mengenai penambahbaikan pilihan raya berikutan sikap kerajaan yang didakwa semakin jelas tidak ikhlas, kata naib presidennya Salahuddin Ayub.

Sebaliknya PAS akan terus berpegang kepada pendirian supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan segera bagi memastikan perjalanan dan pengendalian pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

"Walaupun sebelum ini PAS amat berhati-hati untuk memberikan sebarang komitmen kepada jawatankuasa khas parlimen yang dicadangkan oleh (Perdana menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) itu, tetapi kenyataan terbaru Najib telah membunuh minat PAS menyertai JK itu".

Menurut perdana menteri, pilih raya umum akan datang boleh diadakan pada bila-bila masa dan tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa mengenai penambahbaikan pilihan raya itu.

"Kenyataan itu menguatkan keyakinan PAS bahawa Najib hanya melepaskan batuk di tangga apabila mengumumkan cadangan menubuhkan jawatankuasa itu dan hakikatnya beliau dan Umno tidak pernah serius dalam mendepani tuntutan reformasi pilihan raya negara ini,".

BERSIH 2.0 sebelum ini mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

No comments:

Blog Archive