Wednesday, July 13, 2011

Apabila Bersih Gagal-Ambiga ubah TUNE

Kepimpinan Bersih 2.0 mengulangi ia tidak bertindak atas kepentingan Pakatan Rakyat semata-mata, sekali gus menolak ada kaitan dengan inisiatif menerusi laman sosial Facebook yang menggesa Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan ekoran perhimpunan Sabtu lalu.

Dalam temu bual dengan Wall Street Journal, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) berkata, gabungan pimpinannya tiada sebarang kaitan dengan inisiatif itu yang sehingga kini telah menarik sokongan lebih 170,000 yang mahukan Najib berundur.

Najib dilantik sebagai perdana menteri keenam pada April 2009.

“Kami tiada kaitan dengan (usaha) itu. Ia tidak pernah dan tidak pernah menjadi hasrat Bersih agar perdana menteri meletakkan jawatan. Sebagaimana saya telah katakan, kami mahu bekerja dengan perdana menteri dan kerajaannya untuk mengadakan sistem pilihan raya yang lebih baik,” kata Ambiga.

Selepas kejayaan menarik lebih 100,000 sokongan, inisiatif yang sama sedang diusahakan untuk mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan. Satu lagi kumpulan mahu mengumpul satu juta atau lima juta sokongan bagi meminta Najib meletakkan jawatan.

Najib dan Hishammuddin masing-masing merupakan presiden dan naib presiden Umno.

Ambiga juga memberitahu Wall Street Journal bahawa beliau tidak melihat akan ada banyak lagi perhimpunan susulan meskipun PAS, komponen Pakatan Rakyat bercadang mengadakan satu lagi perhimpunan jika kerajaan mengabaikan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Saya tidak melihat ia akan berlaku dalam waktu terdekat,” kata bekas presiden Majlis Peguam ini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak menolak kemungkinan perhimpunan Bersih 3.0. Perhimpunan pertama diadakan pada akhir 2007.

Malah Ambiga juga menafikan tanggapan bahawa usaha mereka mengadakan perhimpunan Bersih hanya kerana kepentingan Pakatan Rakyat.

“Tidak adil sama sekali,” kata beliau yang sebelum ini pernah menekankan bahawa pihaknya juga telah mempelawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) menyokong usaha mereka.

“Kami telah mempelawa kesemua parti politik termasuk BN agar menyokong kami. Bagaimana anda boleh kata usaha menuntut pilihan raya adil dan bebas hanya bagi pembangkang? Ia untuk setiap orang. Ahli-ahli Pakatan Rakyat juga rakyat negara ini. Apakah mereka tidak berhak untuk menyokong satu pergerakan bagi pilihan raya yang adil dan bebas?” katanya.

Ia laporan kritikal yang terbaru selepas tulisan yang sama dibawa oleh Jakarta Post dan Straits Times masing-masing dari Indonesia dan Singapura semalam.

Penganjur mendakwa bahawa perhimpunan Bersih 2.0 telah disertai sekitar 50,000 orang tetapi ia dinafikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengatakan bahawa ia hanya menghimpunkan 6,000 orang.

Wall Street Journal, akhbar bisnes antarabangsa berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak mencetuskan persekitaran “takut dan menekan”, yang akhirnya mengakibatkan penentangan terhadap perdana menteri itu yang mengambil alih jawatannya April 2009 daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ambiga juga berkata, Bersih 2.0 hanya menuntut pembaharuan sistem pilihan raya, bukannya perubahan kerajaan yang memerintah sebagaimana disaksikan di rantau Timur Tengah dan di beberapa negara dunia Arab.

No comments:

Blog Archive