Friday, June 03, 2011

Erti seorang bapa bagi seorang banduan menunggu digantung

Yong Vui Kong, rakyat Malaysia kelahiran Sabah, sedang merengkuk di penjara Singapura. Beliau menunggu hukuman gantung ke atasnya dilaksanakan kerana kesalahan mengedar dadah.

Malaysiakini akan menyiarkan surat-surat terakhir Yong kepada Yetian - seorang anggota kempen "Selamatkan Vui Kong" - sepanjang 12 minggu terakhirnya menghitung kematian.

Yetian,

Apa khabar? Aku di sini sihat walafiat. Terima kasih atas sikap prihatinmu. Aku jalani kehidupan di penjara dengan baik sekali. Semua melayanku dengan mesra.

Memasuki Jun, semua orang bersiap sedia untuk merayakan Hari Bapa. Walaupun dalam kesibukan tugas, aku harap kita dapat mencuri sedikit masa untuk pulang dan melawat ayahanda masing-masing.

Pada tahun 1993, ketika masih kecil, bapa meninggalkan ibuku. Pada masa itu, perasan kami adik beradik sedih bercampur marah. Ibu keseorangan tanpa peneman hidup.

Kami semua salahkan bapa yang tidak berhati perut tinggalkan ibu. Di kalbu kami penuh perasaan benci dan berang. Namun, ketika itu kami masih kecil dan tiada apa yang boleh dilakukan selain menelan bulat-bulat kekejaman itu.

Masih jelas dalam ingatan ketika kami letakkan semua kesalahan itu di pundak bapa. Hanya kakak sulung kami Yoke Yin sahaja yang faham. Jadi, selain beliau, bapa terus terasing daripada anak-anaknya yang lain.

Namun, kami faham bahawa perkara ini cuma masalah ketika membesar dan tidak mudah untuk anak kecil seperti kami untuk menilainya.

Pada kami, tindakan bapa meninggalkan ibu sungguh tidak adil. Ekoran tindakan itu, ibu harus memikul beban menyara keluarga berseorangan. Ibu harus menjaga kami semua. Oleh kerana itu juga, pada usia muda, kami adik beradik terpisah.

Masih segar dalam ingatan juga apabila pada suatu pagi, tidak gagal mengejutkan kami untuk ke sekolah. Akibatnya, datuk memukulnya. Aku menyorok dengan ketakutan di satu enjuru ketika itu.

Bagaimanapun, aku ingin sangat jadikan tubuh sendiri sebagai perisai untuk ibu. Aku meratap sedih, aku bersumpah untuk bekerja dengan segera. Dengan itu aku mampu bawa ibu keluar dari tempat itu.

Aku fikir, jika bapa masih ada, ibu tidak akan dipukul. Tetapi ini semua tinggal kenangan. Mempelajari dan memahami falsafah Buddha tidak membenarkan aku menaruh kebencian lagi.

Orang tua amat penting. Semua kita perlukan mereka, darah daging kita.

Aku tidak tahu bagaimana bapa melihat perkahwinannya dengan ibu. Mungkin itu cuma kesalahan daripada awal. Atau dia hanya merasakannya sebagai tanggungjawab. Tetapi di mata anak-anak kecil, tanpanya, kami tidak akan dilahirkan di dunia ini.

Selepas menjejakkan kaki ke penjara, bapa ada beberapa kali mengunjungiku. Dia nampak sudah dimamah usia. Dia juga kulihat meratapi nasibku. Aku tahu, dia salahkan diri sendiri. Namun bagi aku, aku mahu melupakan sejarah silam.

Aku juga punya bapa angkat. Dia rakan baik pada bapaku. Kerana simpati, dia menjagaku selama dua tahun. Aku juga amat berterima kasih padanya. Aku dengar, dengan kes aku ini, dia sangat sugul dan mengarang surat terbuka untukku.

Atas kesempatan ini, aku ingin ucapkan," Selamat Hari Bapa". Tolong maafkan saya.

Yun Leong ada datang mengunjungiku selepas pulang ke kampung halaman kami. Aku menghujankan bertalu-talu pertanyaan tentang khbar ibu.

Ibu fikir, " Vui Kong dalam pencarian, perjalanan menuju pencerahan".

Aku mahu tanggapannya itu kekal. Aku harap dia sihat di hari-hari terakhirnya. Aku masih ingat, aku berjanji pada diri sendiri untuk beri ibu kehidupan yang baik.

Malangnya ia tidak berlaku. Tanggungjawab itu kini beralih tangan kepada adik beradik yang lain.

Yun Leong juga ada beritahu aku, kesihatan ibu bertambah baik kebelakangan ini. Dia tidak lagi perlu mengambil banyak ubat-ubatan. Senyuman pun selalu terukir di bibirnya.

Walaupun tidak dapat bertentang wajah, aku masih gembira melihat riak mukanya melalui wajah saudara lelakiku itu. Sama ada ibu tahu atau tidak penghujung hidupku nanti, biarlah ia berlaku dengan sendiri.

Yetian,

Keputusan presiden akan tetap tiba. Sama ada ia baik atau buruk, aku harap semua akur padanya. Kita harus memandang berat daripada membiarkan anak muda lain menyusur jalanku.

Fikir tentang perkara ini buat aku terkenang anggota keluarga. Hati mereka semua seakan diruntun. Aku kecewakan mereka. Disebabkan aku juga, mereka tertekan.

Sudah tentu aku harap kerajaan Malaysia dapat membantu orang lain yang turut di hujung nyawa dan menghadapi hukuman mati. Sebahagian daripada mereka sepatutnya terus hidup.

Yetian, segigih mana pun kau bekerja, jangan lupa, sekurang-kurangnya berilah satu panggilan telefon untuk keluarga.

Ikhlas,

Vui Kong

YONG VUI KONG, dijatuhkan hukuman mati pada November 2009 kerana mengedar dadah. Beliau hanya berusia 19 tahun. Pada 4 April lalu, beliau gagal dalam rayuan terakhirnya bagi mengelakkan hukuman mati mandatori.

Remaja itu dijadual digantung dalam tempoh kurang tiga bulan kecuali diberikan pengampunan oleh presiden Singapura.

No comments:

Blog Archive