Saturday, February 12, 2011

Perkembangan terkini Akma Hisyam

Pelakon Di bawah Ketiak Isteri, Akma Hisyam, 26 kesal apabila lebih dikenali dengan gambar-gambar seksi yang tersebar di Internet berbanding kerjaya lakonannya.

Dia yang sebelum ini memulakan kerjaya lakonan di Indonesia selama lima tahun mengakui gambar-gambar tersebut telah memberi persepsi negatif dan menyukarkan penerimaan penonton terhadap artis baru yang ingin mencuba nasib di negara sendiri.

“Saya tahu gambar-gambar tersebut diambil di laman sosial Facebook saya dan ada juga gambar lama ketika fotografi di sebuah majalah tempatan. Tapi gambar yang terlalu seksi sepatutnya tidak dikeluarkan namun saya tidak tahu kenapa ia tersebar.

“Apa yang saya kesal gambar-gambar ini akan menyukarkan lagi penerimaan masyarakat kepada artis baru seperti saya,” katanya.

Dia yang memulakan kerjaya di Indonesia selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lakon dan Filem di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi, Indonesia menerima tawaran berlakon drama di negara tersebut sebelum mengambil keputusan balik ke Malaysia.

Menurut Akma, sebelum memulakan lakonan di negara ini pada awal 2008 lalu, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang gosip sebagai seorang artis.

“Saya tahu bukan senang untuk diterima di sini, saya juga tidak kenal ramai orang dalam bidang seni. Pertama kali saya mencuba nasib ialah dengan menghantar profil dan biodata ke Skop Production Sdn Bhd.

“Selain itu apa yang saya takut ialah dengan gosip. Tidak seperti di Indonesia mereka lebih bercerita tentang kerjaya seseorang artis berbanding kehidupan peribadinya,” ujarnya yang turut berlakon dalam drama Gerak Khas dan Saka.

Ditanya tentang gaya pemakaian seksi yang kurang disenangi peminat, Akma memberitahu dia hanya menjadi diri sendiri.

“Saya tahu apa yang saya pakai dan saya hanya jadi diri sendiri dan tidak hipokrit. Namun begitu tidaklah semua tempat saya seksi, ia perlulah bersesuaian dengan tempat dan majlis yang dihadiri,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Akma, biarpun sudah hampir dua tahun berada di industri hiburan Malaysia, dia masih lagi menerima tawaran daripada produksi Indonesia.

“Saya baru sahaja selesai dua telefilem di Indonesia berjudul Cinta Tiga Segi dan Bertaubat Sebelum Ditaubatkan dan sekarang masih menimbangkan tawaran untuk beberapa drama di sini pula,” ujarnya yang mengakui perlu petah berbahasa Indonesia untuk diterima berlakon di sana.
Oleh KEMALIA OTHMAN-My Star

No comments:

Blog Archive