Saturday, February 19, 2011

Kematian Teoh Beng Hock: Pembangkang boikot RCI bertujuan politik

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan memulaukan prosiding Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik Exco Selangor, sebagai modal kepada pembangkang untuk dijadikan isu pada pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri berkata tindakan itu bertujuan melengah-lengahkan tugasan suruhanjaya itu yang sekaligus menampakkan kerajaan seperti tidak melakukan apa-apa tindakan bagi mencari punca kematian mendiang Teoh.

"Ia dipolitikkan. Mereka ini hendak cari jalan untuk melengah-lengahkan kes ini. Tujuannya ialah supaya kes ini boleh dijadikan satu isu dalam pilihan raya akan datang.

"Sebab itu nawaitu, niat oleh pembangkang yang menasihati keluarga Teoh Beng Hock, supaya mereka harap untuk melengah-lengahkan kes ini untuk menampakkan kerajaan tidak membuat sesuatu untuk mencari kebenaran atas punca kematian Teoh Beng Hock sehinggalah pada pilihan raya akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Guru Takmir Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pada khamis, peguam negeri Selangor Malik Imtiaz Sarwar mengikut jejak peguam Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh, dengan menarik diri daripada prosiding suruhanjaya itu.

Pada Selasa, Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh menarik diri selepas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen menolak dua permohonannya (pelantikan tiga pegawai dan menangguhkan prosiding) kerana berpendapat ia tidak berasas.

Suruhanjaya itu yang ditubuhkan pada 26 Jan lepas, diketuai Hakim Foong Yuen dan dianggotai oleh dua bekas hakim dan dua pakar forensik dan dibantu empat pegawai undang-undang.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Najib berkata sepatutnya mereka perlu memberi peluang kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan tanggungjawab mereka mencari kebenaran tentang apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan kematian Teoh.

Suruhanjaya itu adalah saluran yang terbaik ditubuhkan atas nama Yang di-Pertuan Agong dan mesti berfungsi dan berjalan sehingga ianya tamat melaksanakan tugasan berdasarkan kepada ketetapan yang telah dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong, katanya.

Malahan, Najib berkata mereka yang dipilih menganggotai suruhanjaya berkenaan juga terdiri daripada mereka yang berwibawa dan boleh membantu mencari apa sebenaranya yang berlaku.

"Kita tubuh suruhanjaya ini atas sebab permintaan keluarga dia (Teoh Beng Hock) dan satu (lagi) sebab kita nak cari kebenaran.

"Perlu ada penamatan pada kes ini. Takkan sampai bila berterusan sahaja, kalau tidak ada sesuatu yang dimuktamadkan. Suruhanjaya inilah saluran terbaik untuk kita mencari kebenaran dan mencari sesuatu yang muktamad dalam kes ini," katanya.
--Bernama

No comments:

Blog Archive