Thursday, December 09, 2010

AHLI TERUS baik untuk BN: Nazri Aziz

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin Barisan Nasional (BN) akan mewakili semua kaum menerusi keanggotaan secara terus.

Nazri berharap sekiranya cadangan itu dilaksanakan kelak, jumlah keanggotaannya diharapkan akan lebih besar berbanding jumlah anggota dalam parti komponen.

Bagaimanapun, beliau berkata BN tidak akan membubarkan semua parti komponennya kerana sistem komponen yang sedia ada telah diguna pakai lebih 50 tahun.

“Apa yang lebih penting ialah untuk melihat BN mempunyai jumlah anggota yang ramai dan ia dijangka akan berlaku dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman web Nayagankini.com yang ditubuhkan oleh Persatuan Perkhidmatan Rakyat Malaysia.

Ditanya adakah keanggotaan terus itu akan mengundang perselisihan faham antara kaum, beliau berkata tiada penyelesaian sepenuhnya untuk mengatasi masalah berlainan pendapat dan pandangan kerana parti pembangkang turut menghadapi masalah yang sama.

Di bawah keanggotaan secara terus yang dicadangkan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ia akan dibuka kepada orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa bersandarkan kepada parti-parti komponen.

Mengenai isu Ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nazri berkata Ketuanan Melayu adalah mengenai institusi diraja di negara ini.

“Saya nak tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sekiranya mereka jumpa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, apakah gelaran yang mereka akan panggil?”.

“Mereka akan memanggil Sultan Selangor dengan nama Tuanku,” katanya.

Ketuanan Melayu bukannya membabitkan darjat sesuatu kaum dan para pemimpin PKR sebenarnya tidak tahu apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Ketuanan Melayu, katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap parti MIC di bawah kepimpinan baru, Datuk G. Palanivel dapat menguatkan semula parti itu dan berharap bekas-bekas anggota parti MIC yang keluar supaya kembali menyertai parti tersebut.

“Sebelum ini, ramai anggota parti menghadapi masalah dengan Datuk Seri S. Samy Vellu tetapi kini apabila MIC di bawah kepimpinan Palanivel, adalah diharapkan beliau (Palanivel) dapat mendengar dan menyelesaikan semua masalah parti itu nanti,” katanya.

No comments:

Blog Archive