Tuesday, November 02, 2010

SMS Palsu beredar di Batu Sapi Sandakan

SANDAKAN: Jentera Barisan Nasional (BN) mengesan taktik terbaru pihak tidak bertanggungjawab yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbau perkauman bagi menjejaskan peluang kemenangan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Khamis ini.

Kandungan SMS dalam bahasa Inggeris itu yang turut diterima pihak media di sini, antara lain berbunyi: “Kita tidak memerlukan orang Cina dan India untuk menang pilihan raya”, yang kononnya dihantar atas nama seorang pemimpin UMNO.

Bagaimanapun, kempen memburukkan pemimpin BN dan UMNO itu cepat ditangkis Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dengan menyifatkannya sebagai satu pembohongan serta tidak menggambarkan realiti sebenar yang diamalkan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Sebaliknya, Musa yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, berkata kerajaan BN sentiasa menyokong antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.

“SMS itu tidak betul, malah kita dalam BN walau pelbagai bangsa dan agama, saling membantu antara satu sama lain.

“SMS itu adalah khabar angin yang tidak berasas dan tidak betul yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan rakyat,” katanya pada majlis jamuan bersama warga tua di Dewan Sekolah Menengah (SM) Yu Yuan, di sini semalam.

Musa berkata, kerajaan BN amat mengambil berat semua kaum di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama dan ia terbukti apabila kerajaan negeri dalam Bajet 2010 menyalurkan RM67.17 juta untuk membantu program kebajikan am serta sosial warga tua di negeri ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan menerusi Bajet 2011 pula memperuntukkan RM166 juta untuk melaksanakan program membabitkan warga tua, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan BN untuk memastikan golongan terbabit tanpa mengira bangsa dan agama terus dibantu.

“Program yang dibuat oleh persatuan ini adalah sebahagian tanggungjawab sosial kita kepada golongan warga tua yang banyak menabur jasa dan bakti dalam pelbagai bidang selama ini,” katanya.

Musa berkata, rakyat perlu sedar bahawa hanya kerajaan BN yang prihatin mengenai kebajikan rakyatnya, mampu membawa pembangunan selain sentiasa berusaha memenuhi janji yang diberikan kepada rakyat.

“BN amat mengambil berat kebajikan rakyat dan sentiasa berusaha membawa pembangunan serta kemajuan di negeri ini. Kerajaan BN sudah melaksanakan pelbagai projek bagi memastikan rakyat hidup dengan selesa dan aman sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam menunaikan janjinya.

“Saya sedar parti pembangkang sentiasa berusaha untuk menjatuhkan kerajaan dengan menyatakan kita gagal menunaikan tanggungjawab. Bagaimanapun, saya meminta supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan taktik pembangkang yang hanya mampu berjanji, tetapi tidak dapat menunaikannya.

“Kerajaan membawa banyak pembangunan ke negeri ini, malah di Sandakan saja, kita sudah membangunkan hab pendidikan bagi membolehkan kanak-kanak dari bandar ini meneruskan pengajian tanpa perlu ke tempat lain,” katanya.

No comments:

Blog Archive