Tuesday, November 16, 2010

Sidang DUN Kedah-Larangan media jadi tumpuan

Kebanyakan ADUN BN semalam menggunakan kesempatan ketika membahaskan usul Ucapan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sultan Kedah dengan membangkit isu mengenai kebanyakan media arus perdana tidak dibenarkan membuat liputan persidangan kali ini.

Datuk Saad Man (BN-Jitra) berkata kerajaan negeri perlu mengkaji semula arahan itu kerana dengan adanya media arus perdana, rakyat dapat mengetahui keputusan-keputusan yang telah dibincangkan pada persidangan DUN kali ini.

"Perbincangan-perbincangan ini adalah untuk kebaikan rakyat. Persidangan kali ini terasa sunyi kerana tiadanya liputan oleh kebanyakan media utama," katanya.

Pada persidangan DUN kali ini, kerajaan negeri hanya membenarkan wartawan daripada Bernama serta akhbar The Star, Sinar Harian, Harakah, Sin Chew Daily, China Press, Kwong Hwa Jit Poh, Guan Ming Daily, Oriental Daily, Nan Yang Siang Pau, Makkal Osai dan Malaysian Nanban untuk membuat liputan.

Surat memaklumkan senarai media yang dibenarkan itu, yang ditandatangani oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Helmi Mohamed Khalid, dihantar kepada semua organisasi media di negara ini Khamis lalu berikutan apa yang didakwa sebagai "ekoran dari putar belit dan berita biadap pihak media terhadap kerajaan negeri Kedah mutakhir ini".

Sementara itu, Mohd Tajudin Abdullah (BN-Belantik) berkata larangan terhadap media cetak dan elektronik daripada membuat liputan berita bukanlah suatu amalan yang biasa.

"Belum pernah berlaku di sepanjang pemerintahan Barisan Nasional di Kedah, pengamal-pengamal media dilarang membuat liputan terhadap majlis-majlis yang dianjurkan oleh kerajaan negeri, baik persidangan dewan mahupun majlis-majlis keraian dan majlis-majlis rasmi," katanya.

Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak) berkata walaupun beliau bersimpati dengan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam insiden Azizan memarahi seorang wartawan pada satu sidang media, tidak sepatutnya media tidak dibenarkan membuat liputan persidangan DUN.

Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) pula berkata beliau bersetuju dengan tindakan itu kerana jika laporan media itu tidak benar, lebih baik tiada liputan langsung kerana ia akan menimbulkan keresahan kepada rakyat.

Sementara itu, pada sesi perbahasan itu, Mohd Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil) meminta kerajaan negeri mempertingkatkan hasil perlombongan pasir dengan mengetatkan pelaksanaan royalti bahan batuan.

No comments:

Blog Archive