Thursday, July 29, 2010

Hubungan Cinta Saiful: Farah Azlina jadi mangsa

Pejabat Peguam Negara menerusi laman sesawangnya mengeluarkan kenyataan bahawa Farah Azlina Latif dari Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara telah dipindahkan ke Bahagian Penyemakan dan Pembaharuan Undang-Undang berkuatkuasa semalam.

Sehubungan dengan pemindahan itu, jawatannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya ditukar sebagai Peguam Kanan Persekutuan.

Namun menurut laman itu, jawatan baru berkenaan bukan dengan “tujuan naik pangkat” dan Farah Azlina masih menyandang Gred L48 yang dipangkunya sebelum ini.

Sebelum ini, RPK mendakwa Farah Azlina mempunyai 'hubungan romantis' dengan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua hari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pada sidang akhbranya, mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Sebelum kejadian itu, Farah Azlina dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan tetapi membatalkannya seminggu sebelum tarikh yang dijadualkan itu. Sebab pembatalan itu juga tidak diketahui.

Sesetengah pihak juga dikatakan tidak senang dengan tindakan Abdul Gani yang memindahkan Farah Azlina dari Bahagian Pendakwaan sebelum siasatan terperinci dijalankan.

Adalah dipercayai Mohd Saiful yang dikatakan telah bertunang dengan seorang personaliti media mungkin mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan apabila “kena pada waktunya.”

Farah Azlina pada mulanya bukan sebahagian daripada pasukan asal pendakwaan dalam kes perbicaraan Anwar tetapi dibawa kemudiannya selepas seorang daripada timbalan pendakwa raya yang ditugaskan mengambil nota perbicaraan meletakkan jawatan.

Beliau mengambil alih tugas itu tetapi tidak terlibat dengan pendakwaan, kata Abdul Gani.

Perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar bersambung Isnin ini dan isu 'hubungan romantis' Farah Azlina dengan Mohd Saiful dijangka akan menjadi tumpuan.

Ini berikutan surat dari peguam Anwar kepada Abdul Gani dan Peguam Cara II Negara, Datuk I Mohd Yusof Zainal Abiden, yang juga adalah ketua pendakwa -- menuntut penjelasan berhubung 'hubungan romantis' itu.

No comments:

Blog Archive