Sunday, July 25, 2010

Elok Juga Jika Kerajaan Pakatan Tidak Ikut PRU-13 Serentak

Pakatan Rakyat (PR) Selangor telah memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jikapun Barisan Nasioanl (BN) memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.

PR Selangor salah satu negeri dikuasai Pakatan telah memutuskan bahawa mereka mahu menggunakan tempoh mandat lima tahun sepenuhnya, tanpa mahu terikat dengan rentak BN bagi membolehkannya menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu.

Selangor salah satu daripada empat negeri yang kini diterajui PR. Tiga negeri yang lain ialah Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh memutuskan untuk memanggil pilihan raya negeri dengan memperoleh perkenan Sultan ataupun Yang Dipertua Negeri.

Perdana Menteri pula boleh berbuat demikian di peringkat pusat dengan menperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Lazimnya pilihan raya umum negeri dan pusat akan diadakan serentak.

Bagaimanapun pemerhati dan penganalisis menjangkakan kelainan ekoran perubahan landskap politik negara sejak 8 Mac 2008.

Ketua Penerangan PAS Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir ketika mengesahkan perkara itu berkata, PR memerlukan masa yang secukupnya memandangkan Umno-BN terus-menerus mendakwa pihaknya tidak melaksanakan program yang dijanjikan ketika kempen pilihan raya.

Mandat semasa bagi semua kerajaan negeri kecuali Sarawak akan berakhir Mei 2013.

Namun pendirian kerajaan Pakatan yang tidak akan ikut serta PRU-13 bagi kerusi-kerusi DUN bertentangan dengan pendirian Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub semasa sesi pemukiman di Port Dickson baru-baru ini telah mengambil pendirian untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akhir tahun ini. Malah Sallehuddin meramalkan bahawa pilihan raya umum (kemungkinan) diadakan hujung tahun ini.

Dalam temu bual dengan sebuah portal berita dua minggu lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau berharap kesemua negeri sama ada yang dipimpin BN ataupun PR akan mengadakan pilihan raya umum serentak.

Tanda dan bayangan pilihan raya umum tergempar mula muncul dengan Umno-BN memulakan serangan terhadap kerajaan negeri dengan memfokus isu pasir.

Semalam, Umno Selangor telah memulakan penganjuran 19 program ceramah sempena jelajah Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE), yang akan berlangsung hingga 8 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, program ceramah itu merangkumi 19 bahagian Umno di negeri itu, bermula dengan Shah Alam.

Noh berkata, program SSDE fasa satu itu akan memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat Selangor mengenai isu-isu kontroversi termasuk membabitkan dakwaan penyelewengan anggota pentadbiran, tadbir urus anak syarikat yang buruk dan isu peribadi serta moral pemimpin kerajaan PR.

No comments:

Blog Archive