Thursday, June 24, 2010

Taib Mahmud Membayangkan PRU-Sarawak Diadakan Tahun Depan

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud Khamis berkata Barisan Nasional (BN) Sarawak sedang bersiap sedia bagi pilihan raya negeri yang mesti diadakan menjelang Julai tahun depan tetapi tidak membayangkan bila ia akan diadakan.

Taib, yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata para pemimpin empat parti komponen BN Sarawak telah diarahkan supaya mempersiapkan diri semasa permukiman tahunan BN negeri selama dua hari yang diadakan di Taman Negara Mulu di Miri, yang berakhir semalam.

"Ia (pilihan raya negeri) boleh diadakan tidak lama lagi atau kemudiannya, ia tidak penting sangat tapi kami sedang menyiapkan diri bagi menghadapinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Napolean Hill Convention 2010 di sini.

Permukiman merupakan forum bagi wakil rakyat BN negeri dan setiausaha-setiausaha politik untuk mengenal pasti isu dan masalah-masalah yang perlu diselesaikan sebelum pilihan raya.

Ketika ditanya jika beliau mempunyai nombor kegemaran, yang mungkin menggambarkan tempoh masa pembubaran dewan undangan negeri bagi memberi jalan kepada pilihan raya, Taib berkata pendekatan sedemikian tidak penting kerana keutamaan BN ialah mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan hanya memenangi pilihan raya.

"Apa yang penting bagi kami (BN negeri) ia untuk memastikan politik berkaitan dengan persoalan memperbaiki kehidupan rakyat dan bukan setakat memenangi perdebatan atau cuba untuk mendapat kuasa," katanya, sambil menambah sesetengah pihak telah mendapat kuasa sedemikian tetapi tidak tahu menggunakannya untuk kepentingan rakyat.

Pada pilihan raya negeri 2006, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi 34 daripada 71 kerusi dewan negeri, diikuti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lapan.

Dalam perkembangan sama, Taib berkata persaoalan sama ada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) boleh diterima semula di dalam kerajaan, berikutan keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan pembatalan pendaftarannya, perlu dibincangkan dengan rakan BN negeri yang lain.

"Adalah lebih baik tidak memikirkan mengenai apa yang telah berlaku pada masa lepas kerana kini ia telah selesai (sejak SNAP keluar BN) dan parti-parti lain telah membuktikan prestasi mereka dalam pilihan raya nampaknya berdaya maju," katanya ketika merujuk kepada SPDP, salah satu cabang SNAP dan PRS, yang diwujudkan selepas Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dibatalkan pendaftarannya berikutan krisis kepimpinannya.

"Kamu tidak boleh menyingkirkan mereka dan menggantikannya dengan orang lain," katanya.

No comments:

Blog Archive