Saturday, June 12, 2010

Kerjasama NIK Aziz Dengan LIM Kit Siang Punca Akar Umbi Pas Hilang Keyakinan

Di sebalik usaha PAS melebarkan sokongan bukan Islam dengan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS bulan lalu, pemimpin-pemimpin kanan parti menyarankan komponen Pakatan Rakyat itu perlu merangka ‘blueprint’ untuk memperkukuhkan kedudukannya di kalangan penyokong Melayu Islam.

Pandangan itu diberikan ketika wujud kerisauan bahawa pengundi-pengundi Melayu Islam mula menjauhi ketika PAS bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun penubuhan ke-60 tahun depan.

Ketika merasmikan muktamar ketiga-tiga sayap PAS, Mursyidul Am PAS berkata PAS perlu muncul sebagai parti alternatif kepada orang Melayu Islam di negara ini.

Malah sudah wujud pandangan bahawa PAS perlu memainkan peranan sebagai peneraju dalam Pakatan Rakyat.

Pelan jangka panjang itu dilihat perlu mengambil kira perkembangan landskap politik yang berlaku sekarang khususnya sepanjang tiga hingga empat tahun lalu.

Dalam mengutarakan pandangan ini, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dr Mujahid Yusof Rawa mengakui parti itu kehilangan sokongan di kalangan orang Melayu dan usaha perlu diambil untuk membetulkan keadaan tersebut.

“Salah satunya ialah mengadakan pelan jangka panjang atau blueprint... usaha ini perlu mengambil kira perubahan landskap politik sekarang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Penekanan ke arah ini mula diberi fokus dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-56 yang sedang berlangsung.

Bagaimanapun Muhajid, dengan mengambil kira perkembangan dilalui PAS sepanjang enam dekad ini, menolak tanggapan bahawa parti itu tidak melakukan apa-apa untuk orang Melayu Islam negara ini.

Tetapi kata beliau, media-media arus perdana yang memihak kepada Umno memberi persepsi serong tentang PAS selepas ia mula melebarkan sokongan di kalangan bukan Islam.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata PAS perlu mengambil lebih banyak usaha dan pendekatan untuk menjelaskan kepada orang-orang Melayu bahawa hak-hak mereka tidak akan terjejas jika parti Islanm itu ataupun Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

“Parti perlu melakukan lebih banyak usaha untuk mengingatkan orang-orang Melayu jika PAS mahu mengambil alih pentadbiran... mengenai hak, Islam sebagai agama rasmi dan hak-hak keistimewaan orang Melayu termasuk bahasa akan dipertahankan... ia akan kekal, tidak akan berubah,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi oleh seorang lagi Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

“Tanggapan umum ialah ketika kita melebarkan asas sokongan kalangan orang Cina dan India dalam kaum-kaum lain (termasuk di Sabah dan Sarawak), tetapi kita kehilangan undi-undi orang Melayu,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa PAS berada dalam kedudukan yang lebih baik dalam memperoleh sokongan orang Melayu berbanding ketika pilihan raya umum 2004.

“Pada tahun 1999, kita dapat melihat peningkatan sokongan orang Melayu kepada PAS, dan kini lebih baik berbanding 2004, tetapi kedudukan ini perlu diperkukuhkan dengan melihat kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar,” kata bekas pengarah unit penyelidikan ini.

Bagaimanapun Mujahid menekankan bahawa keprihatinan perwakilan-perwakilan semalam tidak berkaitan secara langsung dengan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS, yang terbentuk hasil dinaik taraf Kelab Penyokong PAS.

“Ia bukan mengenai kongres... sejak saban tahun bukan Melayu mula memahami, dan mereka mendekati kami.

“Bukan Islam dalam PAS bukan isunya. Perwakilan hanya ambil berat soal pengundi-pengundi Melayu,” katanya ketika ditemui di akhir hari pertama muktamar kali ini di Pengkalan Chepa dekat sini semalam.

Dalam perbahasan semalam, PAS diingatkan oleh perwakilan agar jangan melupakan penyokong setia mereka dalam usaha menarik pengundi-pengundi bukan Islam.

Perwakilan yang membahaskan ucapan dasar Presiden petang semalam melahirkan kebimbangan terhadap kemerosotan sokongan orang Melayu. kepada PAS sejak kebelakangan ini.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, beliau risau dengan keghairahan PAS mendapatkan sokongan bukan Islam dan pengundi baru menyebabkan sokongan tradisinya merosot.

“Jangan sampai kita hendak mendapatkan pengundi baru, kita melupakan pengundi yang lama, kita menyakitkan pengundi lama... kalaupun dapat bini muda, janganlah dilupakan bini tua,” kata beliau.

Malah sebelum ini, Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh juga mengakui bahawa parti perlu memikirkan keperluan mencari pendekatan jangkan panjang untuk meningkatkan sokongan bukan Islam dan Islam dalam jangka panjang.

Bagaimanapun beliau menolak tanggapan bahawa PAS kehilangan sokongan orang Melayu.

“Pada saya di Hulu Selangor, kalau kaji betul-betul memang ada peningkatan walaupun tidak banyak... untuk mengatakan undi masyarakat Islam kepada PAS menurun, itu saya tidak boleh terima 100 peratus,” kata beliau dengan merujuk kepada keadaan di Kelantan.

Sambil bersetuju bahawa perlu ada pelan induk jangka panjang, Nuridah menambah, PAS wajar mengambil langkah untuk menjelaskan kepada orang ramai khususnya pengundi kalangan Islam tentang apa yang telah dilakukan oleh komponen Pakatan Rakyat ini.

“Kita perlu jelaskan.... orang Melayu dan bukan Melayu tidak perlu takut kepada PAS. Insya-Allah kita akan memberi penjelasan kepada orang Melayu,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata tumpuan perlu diberi ke atas konteks yang betul dengan melihat bahawa parti Islam ini tidak pernah memiliki sokongan majoriti orang Melayu dari awal-awal lagi.

“Kita tidak pernah ada sokongan majoriti dari peringkat awal,” kata beliau sambil menambah parti perlu menyuntik kefahaman bahawa mereka perlu menang kedua-dua undi Melayu Islam dan juga kalangan bukan Islam.

“Memberikan hak atau memenuhi (keperluan) kaum-kaum lain bukan bermakna kita menyerahkan hak orang Melayu (bulat-bulat),” katanya.

Perwakilan dari Perak, Drs Khalil Idham Lim memberitahu penerimaan bukan Islam menerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS tidak harus dianggap sebagai sesuatu menakutkan.

Apa yang penting ialah, kata beliau, PAS perlu meningkatan proses penerangan mengenai usaha-usaha yang dilakukan.

“Masalah sekarang ialah kurangnya proses penerangan tentang apa yang dilakukan oleh PAS. Kita kena baiki perkara ini, jika kita berjaya bermakna kebimbangan yang ditimbulkan dapat diatasi,” kata Adun Titi Serong ini.

Mengulas perkembangan perbahasan semalam, Setiausaha Agung DatukMustafa Ali melihat pandangan beberapa perwakilan sebagai peringatan.

“Mereka cuma beri peringatan... ia (turun naik sokongan) perkara biasa, bukan serius,” kata beliau sambil menambah pucuk kepimpinan akan mengambil kira pandangan perwakilan.

No comments:

Blog Archive