Tuesday, May 18, 2010

Walaupun Penduduk SIBU Undi Pembangkang Namun BN Tetap Tunai Janji: Penduduk Kota Belud Jadi Penyokong BN sejak Merdeka Air Bersih Tak Kunjung Datang

Walaupun penduduk SIBU menolak BN , namun semua janji tetap ditunaikan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kerajaan tidak melihat pilihan raya itu sebagai satu titik penamat terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, segala apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, dirinya sendiri atau mana-mana pemimpin BN sebelum ini akan ditunaikan.

''Sebahagian telah pun ditunaikan sama ada ia melibatkan masyarakat Iban, Melayu, Melanau, bumiputera atau Cina. Dan sama ada muslim atau Kristian dan sebagainya, itu kita tidak membeza-bezakan.

''Mana yang kita sudah janji kita akan terus tunaikan. Kita tidak melihat pilihan raya kecil itu sebagai satu titik kesudahan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Modal Insan kali Kedua di sini hari ini.

Beliau memberikan reaksi demikian ketika mengulas kegagalan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada Wong Ho Leng dari DAP dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya tersebut semalam.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi, Hui Yew memperoleh 18,447 manakala calon Bebas Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.

Muhyiddin berkata, walaupun kecewa dengan keputusan itu, BN tetap akur kerana ia adalah pilihan rakyat.

Menurutnya, BN akan meneliti punca kegagalan parti itu untuk mempertahankan kerusi Parlimen tersebut dan mengadakan perbincangan dengan pihak BN di Sarawak.

''Lebih kepada post mortem (bedah siasat), kita hendak nilai dari segi prestasi jentera yang ada dan pendekatan yang kita gunakan.

''Sebelum ini, dikatakan di Sarawak suasananya tidak serupa di Semenanjung tetapi daripada apa yang kita lihat, ia tidak berbeza dari segi sentimen dan kehendak pengundi," katanya.

Justeru, kata beliau, pendekatan yang akan digunakan pastinya adalah yang lebih sesuai dan BN akan mengambil perhatian untuk berbincang dengan pihak BN di Sarawak.

Keputusan PRK SIBU perlu dijadikan iktibar oleh para pemimpin BN. Sejak tahun 1982, SIBU adalah kawasan BN, namun kali ini kawasan tersebut jatuh pada pembangkang. Persoalannya kenapa?

Jawapannya, rakyat telah muak menunggu sekian lama. Keadaan ini boleh berlaku pada kawasan Parlimen seperti Kota Belud Sabah. Walaupun penduduk kawasan ini adalah kawasan BN, namun kerana bosan dan muak, kawasan ini akan bertukar menjadi kawasan pembangkang.

Penduduk Kota Belud sejak merdeka, sebahagian besarnya tidak memperoleh bekalan air bersih, termasuk lah sekolah-sekolah menengah kerajaan,apa tak lagi sekolah-sekolah rendah.

Sebahagian besar penduduk tergantung kepada air tube bawah tanah yang tidak dirawat dan tidak diketahui taraf kebersihannya.

Ahli Parlimen yang mewakili kawasan ini adalah Datuk Rahman Dahalan, namun wakil rakyat ini tidak menyuarakannya di dewan rakyat kerana merasa segan dan malu mewakili kawasan di mana bekalan air berishpun belum ada, walaupun negera merdeka lebih setengah abad.

Wakil rakyat ini lebih cenderung kepada keputusan kerajaan yang meluluskan lesen perjudian kepada BERJAYA Group.

Alangkah eloknya,jika wakil rakyat ini sering dan selalu mengetengah masalah penduduk Kota Belud, AYT merasakan semakin kerap isu ini dikemukakan, maka perhatian yang saksama akan jua menjelma.

Jangan tunggu musim pilihanraya, seperti di SIBU dan Hulu Selangor. Pengumuman-pengumuman demi pengumuman, seolah-olah BN seperti BOMBA memadam kebakaran. Hentikan cara ini, jika ingin mendapat kepercayaan rakyat.

Pada PRU-12 yang lalu, dalam satu ucapan wakil BN, yakni Rahman Dahalan di satu tempat perjumpaan, telah berjanji, bahawa dalam 100 hari kemenangannya,maka bekalan air yang menjadi masalah penduduk Kota Belud akan diselesaikan. Namun, setelah 2 tahun, janji itu tidak kunjung tiba.

Jangan kerana janji, rakyat menjadi muak dan bosan. Apabila rakyat telah muak dan bosan, hingga bila-bila pun rakyat tidak percaya lagi. Ambil lah iktibar, di mana kawasan-kawasan BN yang telah jatuh ke tangan pembangkang, terlalu sukar untuk mendapatkannya semula.

Jagalah, hormatilah kepercayaan pengundi, jika tidak malapetaka datang menjelma.

No comments:

Blog Archive