Sunday, February 28, 2010

Di Kelab Sultan Sulaiman Hari Ini Tertubuh MPM: Bukan Bermaksud Bersiang dengan 1Malaysia

Hari ini di Kelab sultan Sulaiman, 76 NGO bergabung bagi membentuk Majlis Perundingan Ngo Melayu (MPM).

Tujuan penubuhan MPM ini untuk mempertahankan dan melindungi hak-hak Melayu serta agama Islam di negara ini.

Antara NGO yang menyertai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang bertindak sebagai wakil pertubuhan itu berkata, peranan MPM adalah sebagai pelindung dan benteng kepada pihak yang semakin hari cuba mengganggu-gugat hak-hak keistimewaan serta ekonomi orang Melayu, kedudukan agama Islam dan ketuanan Raja-Raja Melayu di negara ini.

"Pada masa sama, kita juga akan jadi pendesak yang berhemah kepada kerajaan supaya kerajaan tidak lari dan menyeleweng daripada perkara asas dalam Perlembagaan negara berdasarkan Perkara 153," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MPM di Kelab Sultan Sulaiman di ibunegara hari ini.

Beliau berkata satu persidangan meja bulat bersama-sama semua anggotanya akan diadakan pada 7 Mac ini untuk membincangkan hala tuju ekonomi orang Melayu apabila model ekonomi baru diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelak.

"Kita juga berharap dapat jumpa perdana menteri sebelum model ekonomi baru itu diumumkan supaya kita tak mahu bila pengumuman dibuat ada NGO Melayu yang bersikap 'rumah dah siap pahat berbunyi'...sebab kita nak apa sahaja dasar yang telah kerajaan buat ia harus mendapat sokongan daripada semua pihak.

"Tetapi kerajaan juga perlu proaktif pada NGO Melayu, maksudnya ada tolak ansur kalau kerajaan nak sokongan daripada NGO, kerajaan juga kena ambil kira perasaan dan hati kami," kata Anggota Parlimen Pasir Mas itu.

Dalam kenyataan MPM yang diedarkan kepada media, MPM menetapkan bahawa setiap anggota hendaklah bersama-sama mengkaji setiap isu yang ada kepentingan orang Melayu, agama Islam, Kesultanan Melayu, keselamatan dan kesejahteraan negara sama ada ditimbulkan atau dipersoalkan oleh orang lain atau yang perlu diketengahkan dan diperjuangkan oleh orang Melayu.

Selain itu, MPM akan menyedia dan melaksanakan pelan tindakan bagi menangani atau menentang provokasi terhadap perkara-perkara menyentuh kepentingan orang Melayu dan Islam apabila ia ditakrifkan sebagai usaha pihak-pihak berkenaan sebagai menghasut atau membenci.
Bagi AYT jangan lah ditafsirkan bahawa penubuhan MPM ini adalah mengaggalkan konsep 1Malaysia Najib, Konsep 1 Malaysia adalah konsep bernegara, sementara itu MPM memperjuangan hak-hak melayu dan bumiputra. Itu sahaja.

No comments:

Blog Archive