Sunday, December 27, 2009

Disebalik Cadangan Pas Kelantan Menghalang Calon Luar Bertanding

Apa sebenarnya yang tersirat disebalik cadangan hanya calon tempatan bertanding kerusi Parlimen di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang?

Cadangan ini merupakan telah ada tanda-tanda bahawa masalah dalaman PAS semakin bergolak atau lebih jelas lagi merupakan usaha menyingkir pemimpin utama parti itu khususnya Ahli Parlimen Bachok Ustaz Nasaruddin Mat Isa oleh kem Tok Guru Nik Aziz serta kumpulan Erdogen yang diketuai oleh Datuk Husam Musa?

Pimpinan PAS negeri Serambi Mekah itu boleh beri macam-macam alasan berhubung cadangan itu tetapi lebih ramai pemimpin serta ahli parti itu sudah menghidu tujuan tindakan tersebut.

Tidak sukar mencari siapa duri dalam daging PAS yang baling batu sembunyi tangan mencetuskan cadangan itu dan tidak sukar mencari siapakah bakal dapat laba jika perkara itu dilaksanakan.

Peliknya, perkara seperti ini suatu masa dahulu tidak pernah timbul dalam menentukan calon mengisi 15 kerusi Parlimen di Kelantan bahkan ketika pilihan raya umum 2008, PAS dan PKR sepakat menentukan calon parti masing-masing dengan matlamat menang besar.

Antara pemimpin PAS luar yang kini menjadi Ahli Parlimen di Kelantan selain Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS adalah Salahuddin Ayob (Kubang Kerian), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai) di samping Saifuddin Nasution Ismail (Machang) atas tiket PKR.

Namun begitu, cadangan menolak calon luar Kelantan bakal menjadi topik baru dalam PAS Kelantan.

Ada pemimpin parti itu melihat perkara ini semata-mata untuk menutup isu menantu Tok Guru, Abdul Ariffahmi yang sudah mendatangkan calar balar pada Nik Abdul Aziz juga pada PAS sendiri.

Peliknya, Husam yang tewas kepada Ustaz Nasa pada pemilihan parti membisu seribu bahasa dalam perkara ini sekaligus mula menimbulkan cerita-cerita di kalangan parti itu, beliau antara akan dapat manfaat jika cadangan ini dilaksanakan.

Persoalannya, apa akan jadi pada Nasharuddin jika beliau tidak lagi diberikan kerusi di Kelantan?

Apakah beliau akan bertanding di Negeri Sembilan, negeri yang belum ada pengaruh PAS yang kuat?

Sebagai Timbalan Presiden, beliau mungkin dilihat boleh mengharungi cabaran ini tetapi apa akan jadi kepadanya andaikata beliau tewas dalam pilihan raya umum kelak?

Jika ini berlaku, pengaruhnya sebagai Timbalan Presiden pasti pudar sekaligus memberi ruang kepada pemimpin lain termasuk Husam kembali merebut jawatan itu pada pemilihan parti.

Bagaimanapun, sebagai pemimpin kanan dan dilihat paling rapat dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau tidak mungkin diletakkan bertanding di kerusi tidak selamat.

Abdul Hadi tidak mungkin terbabit komplot ‘membunuh’ karier Ustaz Nasa.

Mahu atau tidak, sebagai Presiden, Abdul Hadi boleh menentukan kerusi selamat yang boleh ditandingi Nasharuddin dan amalan ini bukan ganjil tetapi dilakukan hampir semua parti politik dalam usaha memastikan calon atau pemimpin tertentu terjamin kemenangannya.

Sungguhpun begitu, sumber PAS menyatakan, Pusat Pusat yang akan menentukan sepenuhnya kedudukan calon dan tempat yang akan mereka tandingi manakala PAS negeri hanya boleh mencadangkan. Namun bagi Kelantan, paksi utama dalam penentuan calon terletak dibahu Nik Aziz sendiri. Jika Nik Aziz setuju, maka diterimalah calon pilihan pusat itu, jika tidak maka berkecailah harapan pimpinan pusat.

Diharapkan pada masa kini Ustaz Nasa perlu sedar bahawa beliau kini bukan lagi seistimewa dahulu ketika PAS diterajui Allahyarham Datuk Fadhil Nor.

Beliau kena berdiri dengan kekuatan serta membina pengaruhnya sendiri bagi berdepan musuh dalaman parti yang mahu memastikan dirinya ‘terkubur’ akibat kesan pemilihan parti dan isu kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Dirasakan telah tiba masanya beliau menyerang selepas sekian lama diserang dan bertahan dengan apa yang berlaku terhadapnya termasuk perbalahan dengan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS.

Satu lagi kemungkinan menurut sumber PAS, Husam dikatakan mahu mewakili kerusi Parlimen Kubang Kerian yang diperuntukkan kepada Salahuddin.

Jika bertanding sebagai ahli parlimen selain kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Husam dikatakan mahu menggunakan posisi itu bagi menjadi juara membawa isu tuntutan royalti minyak kerajaan Kelantan dan isu-isu lain.

PAS kini digambarkan berada dalam persimpangan jalan,maju salah,mundur salah. PAS bukan PAS yang kita kenali lagi, Pas telah berubah, berubah kepada parti pak turut kepada PKR dan DAP.

Berjayakah PAS mengekalkan sokongan yang diperolehinya melalui PRU-12 pada PRU-13 akan datang? Rasanya kemungkinan itu telah berlalu. Rakyat telah tahu dan paham bahawa perjuangan PAS telah jauh menyimpang, menyimpang dari asas penubuhan parti itu.

Bagaimanapun, sebalik semua ini, kesimpulan yang dapat dibuat adalah PAS sejak bersengkongkol dengan PKR dan DAP sudah berdepan perpecahaan dalam kerana ada antara mereka tidak mahu ditarik telinga atau hidung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

No comments:

Blog Archive